Anda di sini

Sentuhan magis Farouk Roman & Amylea dalam ‘Adellea Sofea’

 

SELEPAS menyerlah dalam drama Nur dan Cari Aku Di Syurga, karya Farouk dan Amylea kembali menghiasi drama bersiri ‘Adellea Sofea’ yang kini ditayangkan di slot Akasia, TV3 setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 7.00 malam.

Menariknya, empat lagu dalam drama lakonan Mira Filzah, Ungku Ismail dan Bella Dally itu adalah hasil ciptaan mereka yang mana tiga daripadanya iaitu ‘Bagai Lagu Indah’ nyanyian Adzrin Big Stage 2, ‘Syarat Bahagia’ (Dinda Permata) dan ‘Selalu Denganmu’ (Amylea x Kaer) adalah terbitan dan edaran Seventeen Eleven Music.

Farouk, 29, atau nama sebenarnya Mohd Farouk Abd Razak berkata, kesemua lagu itu berbeza daripada karya sebelum ini sekali gus memaparkan sisi berbeza Farouk untuk muzik dihasilkan.

“Bagi drama ini, kami ambil masa dua bulan untuk menghasilkan kesemua lagu. Dapat saja skrip, kami baca dan teliti satu persatu jalan cerita supaya lagu itu kena dengan drama,” kata Farouk.

Lagu ‘Bagai Lagu Indah’, ‘Syarat Bahagia’ dan ‘Selalu Denganmu’ boleh didengar di saluran Youtube Seventeen Eleven Music dan semua platform digital.

Drama ‘Adellea Sofea’ arahan Sharulezad Mohameddin terbitan Radiusone Sdn Bhd mengisahkan mengenai Adellea Sofea, seorang  pensyarah berkelulusan Ijazah Sarjana amat selektif memilih calon suami.

Sofea yang mempunyai ramai pengikut di laman sosialnya sering memuat naik kata-kata dan video penuh motivasi dalam memberi panduan bagaimana untuk memilih pasangan yang baik.

Dalam diam, Sofea sedang berkawan dengan Alif Firdhaus (Fir) yang dikenalinya di medium media sosial selama dua tahun. Sofea tertarik dengan Fir kerana Fir sering memuat naik videonya  bermain gitar dan sering kali juga dia tujukan video khas untuk Sofea.

Hanya melalui kata-kata yang Firdhaus kongsikan dalam media sosial, Sofea menyimpulkan yang Firdhaus datang dari keluarga yang bahagia. Secara tak langsung, Sofea berpendapat yang Firdhaus adalah lelaki yang sempurna juga untuk menjadi suami. Tanpa Sofea ketahui, Firdhaus menyimpan satu rahsia.

Selain Mira Filzah yang memegang watak Adellea Sofea dan Ungku Ismail sebagai Alif Firdhaus, drama ini turut membariskan bintang lain seperti Jasmine Suraya, Bella Dally, Fazlina Ahmad Daud, Fizo Omar, Josiah Hogan, Roy Azman dan Kazar Saisi.