Anda di sini

Sarawak perintis pembangunan hidrogen di Asia Tenggara

Advertisement
 Bas hidrogen yang dinaiki pengamal media untuk lawatan ke stesen isian semula dan loji pengeluaran hidrogen bersepadu di Estet Perindustrian Bintawa.
TIADA PENCEMARAN: Bas hidrogen yang dinaiki pengamal media untuk lawatan ke stesen isian semula dan loji pengeluaran hidrogen bersepadu di Estet Perindustrian Bintawa.

MENJADI yang pertama membangunkan loji pengeluaran hidrogen bukan satu perkara mudah kepada Sarawak apatah lagi ia bukan sekadar yang pertama di Malaysia bahkan di Asia Tenggara.

Dengan menjadi perintis kepada pengeluaran hidrogen di rantau ini, ia akan menjadi kayu ukur kepada yang lain pada masa akan datang khasnya ke arah mencapai agenda global iaitu teknologi hijau.

Malahan ia adalah langkah berani Kerajaan Sarawak ke arah mencapai matlamat berkenaan selain menjadikan ia sebagai pendekatan kepada negeri ini untuk menangani isu alam sekitar dengan tidak hanya terus bergantung kepada bahan api fosil.

Untuk itu, maka bermulalah inisiatif kerajaan negeri ke arah membangunkan hidrogen dengan memperuntukkan sejumlah RM16 juta bagi pelaksanaan stesen isian semula dan loji pengeluaran hidrogen bersepadu, termasuk bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan berkaitan hidrogen.

 Pengamal media tidak ketinggalan merakam replika loji yang turut dipamerkan di galeri di loji hidrogen.
REPLIKA: Pengamal media tidak ketinggalan merakam replika loji yang turut dipamerkan di galeri di loji hidrogen.

Loji dan stesen perintis itu telah dilancarkan pada 25 Mei lepas di Estet Perindustrian Bintawa di Kuching dan pembinaan serta operasi loji hidrogen dan stesen isian semula itu dipertanggungjawabkan kepada penyedia bekalan elektrik utama negeri iaitu Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan kerjasama Linde EOX Sdn Bhd, anak syarikat Linde Malaysia.

Selepas itu, sebagai percubaan Sarawak memperkenalkan tiga bas menggunakan gas hidrogen untuk kegunaan orang awam di sekitar Kuching sebagai inisiatif memperkenalkan pengangkutan awam mesra alam.

 Pengamal media berpeluang mendengar taklimat mengenai operasi dan fungsi kemudahan digunakan di loji hidrogen.
PENERANGAN: Pengamal media berpeluang mendengar taklimat mengenai operasi dan fungsi kemudahan digunakan di loji hidrogen.

Bagi mengenali dengan lebih dekat berhubung maklumat serta operasi loji pengeluaran hidrogen dan pengisian semula di Bintawa, satu lawatan bersama pengamal media cetak dan elektronik telah diadakan oleh SEB.

Sebagai permulaan, rombongan dibawa menaiki bas hidrogen untuk mengalami sendiri pengalaman menaiki bas berkenaan yang kini masih lagi pada tahap ujian di atas jalan raya.

Rombongan media yang menaiki bas berkenaan dari pusat bandar hanya mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk sampai ke loji, di mana rombongan disambut pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) SEB diketuai Naib Presiden Eksekutif (Pembangunan Korporat dan Strategi) SEB Ting Ching Zung bersama kakitangan lain dan staf Linde.

 Ting ketika ditemui pemberita semasa lawatan diadakan di loji hidrogen di Bintawa.
TUMPUAN: Ting ketika ditemui pemberita semasa lawatan diadakan di loji hidrogen di Bintawa.

Pada kali ini lawatan bersama media adalah lebih kepada mengenai operasi serta fungsi kemudahan yang ada di loji pengeluaran hidrogen dan stesen stesen isian semula.

Para wakil media berpeluang mendengar taklimat dan melawat galeri serta bahagian loji di mana kami diberi penjelasan oleh setiap pasukan R&D mengenai fungsi setiap kemudahan di loji berkenaan.

Sementara itu, Ting ketika ditemui pemberita semasa lawatan menjelaskan bahawa SEB buat masa ini menyifatkan mereka adalah syarikat utama di Asia Tenggara yang pertama memulakan projek seumpamanya di rantau ini.

“Ini adalah loji perintis kita dan tujuan kita membinanya adalah untuk membantu kerajaan negeri mengumpul data-data berkaitan dan mewujudkan kesedaran kepada awam mengenai kegunaan hidrogen dalam skala lebih besar.

“Buat masa ini kami membantu kerajaan negeri menerokai teknologi dan kepakaran serta cara mengambil langkah seterusnya,” katanya.

__alt__

Setakat ini, loji perintis itu mampu menghasilkan 130 kilogram hidrogen sehari pada tahap kebersihan 99.999 peratus serta berupaya menyokong dan memenuhi pengisian sehingga lima bas serta 10 kereta sehari.

Kemudahan di loji berkenaan termasuk sebuah kilang yang menghasilkan hidrogen melalui proses elektro kimia dikenali sebagai elektrolisis, stesen pengisian semula untuk kenderaan berkuasa hidrogen pertama Sarawak, termasuk dua kereta Hyundai NEXO milik SEB dan bas di bawah pemilikan dan pengurusan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

Reka bentuk dan pembinaan kemudahan itu adalah mengikut semua peraturan, kod, piawaian dan amalan terbaik yang dirujuk daripada reka bentuk dan operasi kemudahan berkelas dunia yang lain.

Mengulas lanjut Ting berkata, Sarawak berpotensi meneroka ekonomi hidrogen khasnya menjadi pengeksport hidrogen kerana produknya yang lebih hijau.

Ia kerana kata beliau, ekonomi hidrogen merupakan sesuatu yang akan dibangunkan dan bukan sekadar pengangkutan.

“Jepun kini mengimport hidrogen dari Brunei dan Australia. Ini adalah sesuatu yang kita sedang bincangkan buat masa ini dengan rakan kita di Jepun dan lihat bagaimana kita dapat bekerjasama.

“Malahan Jepun juga berhasrat melancarkan bas hidrogen semasa Sukan Olimpik pada tahun depan dan menggunakan lebih kurang 100 daripadanya,” katanya.

Ting memberitahu bagi loji di Brunei, mereka menggunakan kaedah pembentukan gas (gas reforming) berbanding kita di sini menggunakan elektrolisis air yang lebih hijau iaitu produk yang dihasilkan di sini.

“Loji Brunei tidak menghasilkan produk sehijau produk yang kita hasilkan di sini dan saya percaya pada masa akan datang, masyarakat semakin beralih kepada tenaga hijau,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement