Anda di sini

‘Star Wars’ berundur selepas 42 tahun dengan filem baharu

Advertisement
 J. J. Abrams.
PENGARAH: J. J. Abrams.

KUMPULAN terakhir yang terselamat dalam ‘Star Wars’ yang dicipta oleh George Lucas 42 tahun lalu, bersatu semula di atas skrin besar buat kali terakhir pada Jumaat dalam kesimpulan yang nostalgik kepada ‘saga Skywalker’ yang epik – diketuai seorang legenda skrin yang sudah meninggalkan galaksi ini.

‘Star Wars: The Rise of Skywalker’ bertindak sebagai filem terakhir bagi siri sembilan filem yang menentukan genre itu bagi pelakon besar seperti Mark Hamill (Luke Skywalker), Anthony Daniels (C-3PO), Billy Dee Williams (Lando Calrissian) dan, khususnya, mendiang Carrie Fisher (Princess Leia).

Berkat beberapa olahan semula yang inovatif bagi rakaman filem yang dibuat dalam filem-filem Star Wars pada masa lalu, Fisher tidak dijangka masih berada di tengah-tengah sebuah filem yang dikeluarkan tiga tahun selepas kematiannya.

“Idea untuk meneruskan cerita tanpa Leia bukan satu kemungkinan, dan kami tidak mungkin akan membuat Leia digital,” kata pengarah JJ Abrams di satu sidang akhbar dekat Los Angeles.

“Dan sudah tentulah kami tidak mungkin akan mencari pelakon lain untuk membawa watak itu.”

Namun daripada barisan pelakon asal, kepulangan Leia bagi filem-filem baharu mungkin paling penting bagi jalan cerita.

Watak puteri mudanya yang idealistik dan tidak sempurna dari filem-filem pertama telah menjadi seorang mentor yang bijaksana kepada generasi wira Resistance yang baharu seperti Rey (Daisy Ridley) – dan ibu kepada Kylo Ren (Adam Driver) yang zalim.

Barisan pelakon yang masih hidup – termasuk anak perempuannya dalam kehidupan sebenar Billie Lourd – membuat penggambaran bagi adegan-adegan dan dialog yang dapat digabungkan dengan adegan yang memaparkan Fisher dari lantai bilik suntingan.

“Menamatkan sembilan filem ini, Carrie merupakan sebahagian yang besar bagi semua itu,” kata Kelly Marie Tran, 30, yang membawa watak mekanik Resistance yang berani, Rose Tico.

“Jadi bagi saya secara peribadi, kita ingin sekali memberi penghormatan kepada perkara ini dan melakukan perkara yang betul dalam perkara ini – dan saya rasa dia begitu luar biasa sekali di dalam filem ini!”

‘PENJAGA’

Bukan Fisher sahaja alumnus ‘Star Wars’ yang meninggal dunia sebelum ‘Rise of Skywalker’. Peter Mayhew, Chewbacca asal, meninggal dunia selepas mengalami serangan sakit jantung pada April lalu.

Namun kerana kesihatannya yang semakin merosot, Mayhew sudah pun menyerahkan teraju sejak ‘The Force Awakens’ pada 2015, kepada Joonas Suotamo, seorang warga Finland dengan ketinggian 6 kaki 11 inci (2.12 meter).

“Apabila Peter meninggal dunia pada tahun ini, hati saya hancur. Tetapi saya suka memikirkan bahawa dalam filem ini, saya cuba berlaku adil kepadanya,” kata Suotamo, yang memuji Mayhew kerana memberi gaya berjalan yang unik dan tidak begitu manusiawi kepada ‘Chewie’ yang segera dikenali di seluruh dunia.

“Walaupun mereka mungkin belum lagi melihat ‘Star Wars’, mereka mungkin tahu siapa Chewbacca, dan saya menjadi penjaga bagi perkara itu,” tambah Suotamo.

 Daisy Ridley dan John Boyega.
BINTANG UTAMA: Daisy Ridley dan John Boyega.

Bagi Williams, kembali sebagai Lando yang riang rasa hampir seperti melangkah ke dalam watak baharu, kerana kepulangan kepada skrin besar selepas 36 tahun sejak ‘Return of the Jedi’ memang tidak dijangkakan sama sekali.

“Saya tidak fikir ia akan berlaku. Saya melupakannya sahaja,” katanya.

“Namun apabila saya menerima panggilan daripada JJ dan apabila kami berjumpa, saya hanya duduk dan saya hanya ketawa sahaja. Saya rasa ia adalah satu hadiah yang amat hebat sekali.”

Demikian juga Daniels, yang sudah muncul sebagai droid resah C3PO dalam setiap filem ‘Star Wars’, berkata kehilangan rakan-rakannya dan penamatan filem-filem itu telah memberi peluang kepadanya untuk jeda dan merenungkan skala perkara yang mereka telah laksanakan.

“Ia umpama meletakkan hidung kita pada planet, kita tidak dapat melihat betapa besarnya planet itu,” katanya.

“Pada akhirnya, saya berpeluang untuk melihatnya hampir daripada perspektif lain. Saya gembira kerana masih selamat selama ini!”

‘MASIH EMOSIONAL’

Trilogi ‘Star Wars’ baharu dengan watak-watak segar sedang dirancang, manakala francais itu telah diberi suntikan oleh kejayaan siri terbitan Disney TV+, ‘The Mandalorian’ dan bintangnya yang baharu Baby Yoda.

Namun finale ini kepada jalan cerita yang bermula dalam filem asal pada 1977 bergantung kepada nostalgia dan, walaupun mencabar, memasuki semula sut berbulu Chewbacca atau watak berusia berdekad-dekad adalah satu tugasan yang lebih mudah berbanding membentuk sebuah filem yang berkisar sekitar watak yang begitu ikonik dan unik seperti Leia.

Abrams mengakui sebarang penyelesaian kepada kematian Fisher pasti tidak akan sempurna, tetapi menegaskan dia gembira dengan hasilnya – dan berpendapat ada orang lain juga begitu.

“Jika Carrie ada, adakah kami akan melakukan beberapa perkara berlainan di sana sini? Sudah tentulah. Tetapi kita ada peluang untuk memasukkan Carrie ke dalam filem ini,” katanya.

“Kami dapat membuat sesuatu yang Carrie sendiri, saya suka fikir, pasti juga gembira mengenainya.

“Dia sudah tentulah hebat dalam filem itu. Dan ia masih emosional, dan menyentuh hati, untuk memikirkannya dan betapa sedihnya semua kami kerana dia tidak duduk bersama kita pada hari ini.” — AFP

Advertisement