Anda di sini

‘All I Want for Christmas Is You’ ungguli carta selepas 25 tahun

Advertisement
MARIAH CAREY
MARIAH CAREY

SESUKU abad selepas dia mengeluarakan lagu percutian klasiknya yang telah menjadi salah satu klise sayang-kepada-benci, benci-kepada-sayang pada musim Natal, Mariah Carey akhirnya berjaya meletakkan ‘All I Want for Christmas Is You’ di tempat teratas carta lagu buat pertama kali.

“Kita telah melakukannya,” kata diva itu pada Isnin lepas dalam tweet yang memaparkan beberapa emoji, termasuk wajah dengan air mata gembira.

Ramai pengguna media sosial menyuarakan kekejutan bahawa lagu pop yang terkenal itu belum pernah menduduki tempat teratas.

Namun apabila Ratu Percutian yang hakiki itu pada asalnya mengeluarkan lagu hit global itu pada 1994 sebagai sebahagian daripada albumnya ‘Merry Christmas’, peraturan Billboard ketika itu tidak membenarkannya untuk bersaing dalam carta Hot 100, kerana ia tidak dapat diperolehi secara komersial sebagai lagu single.

Perkara itu berubah pada Disember 1998, apabila lagu dari sesebuah album dialu-alukan ke senarai lagu terbaik di Amerika Syarikat, seterusnya meletakkan lagu Carey ke dalam carta itu buat pertama kali pada 8 Januari 2000.

Filem percutian ‘Love Actually’ pada 2003 membantu mengekalkan harapan Carey untuk cinta yang ceria sempena Natal dalam kesedaran kolektif, manakala striming memastikan tempatnya dalam sajian lagu percutian.

Lagu yang mempamerkan julat vokal bintang pop yang elastik itu mula muncul dalam senarai berkenaan setiap tahun bermula pada 2012, apabila strim ditambah kepada metrik ranking Billboard.

Sempena ulang tahun ke-25 lagu itu pada tahun ini, Carey mempromosikannya dengan jauh lebih gigih berbanding selama ini, bermula dengan kempennya dalam media sosial pada pagi selepas Halloween.

- VIDEO BAHARU -

Dia juga mengeluarkan video baharu untuknya – yang diambil kira untuk tempat dalam Hot 100 – dan mengeluarkan lagu itu sebagai CD satu lagu yang berdiri sendiri buat pertama kali.

Pada minggu ini, lagu itu mencatatkan 45 juta strim, 27,000 jualan digital dan 34 juta mainan radio, menurut Billboard.

Kenaikan Carey ke tempat teratas menandakan kali pertama sebuah lagu Krismas menduduki tempat nombor satu dalam carta Hot 100 dalam tempoh enam dekad, apabila ‘The Chipmunk Song’ menguasai carta selama empat minggu pada 1958-1959.

Ia merupakan lagu nombor satu ke-19 bagi Carey, untuk meletakkannya hanya satu mata sahaja di belakang rekod keseluruhan kumpulan The Beatles bagi 20 lagu terbaik.

‘All I Want for Christmas Is You’ kini merupakan lagu yang paling banyak distrim bagi Spotify di United Kingdom, dan semakin popular di Perancis, di mana carta lagu terbaik SNEP kini meletakkannya di tempat ke-31.

Penyanyi itu – yang tidak mahu mengesahkan sama ada usianya adalah 49 atau 50 tahun kerana dia berkata “masa bukanlah sesuatu yang saya terima” – memberitahu akhbar The New York Times bahawa menduduki tempat nombor satu pada akhirnya untuk lagu percutian standard yang dia tulis “dalam rahim, sayang” adalah sesuatu yang lebih penting bagi peminatnya dan bukan bagi dirinya.

“Saya tidak memerlukan benda lain untuk mengesahkan kewujudan lagu ini. Saya pernah menelitinya setiap kali saya mendengarnya, tetapi pada ketika ini, saya rasa seperti saya dapat akhirnya menikmatinya,” katanya kepada akhbar itu.

“Saya benar-benar amat menyukai musim percutian,” katanya. “Saya tahu ia adalah basi, tetapi saya tidak peduli.” — AFP

Advertisement