Anda di sini

Sindiket penipuan kewangan kini semakin kreatif

Advertisement
 

KUCHING: Sindiket penipuan kewangan kini menjadi semakin kreatif dengan menggunakan pelbagai cara untuk memperdaya mangsa sehingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit dan yang terbaru dikenali sebagai sindiket Keldai Akaun.

Menurut kenyataan Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia (ABM), terdapat pelbagai jenis ‘scam’ penipuan kewangan yang digunakan oleh ‘scammer’ dan ‘Macau Scam’ merupakan salah satu penipuan kewangan yang melibatkan kerugian jumlah wang yang amat besar.  

“Kes-kes penipuan ‘Macau Scam’ semakin meningkat dan orang awam mesti mengetahui cara-cara untuk mengatasi atau mengelak daripada terjerat dan menjadi mangsa sindiket penipuan tersebut.

“Modus operandi ‘Macau Scam’ biasanya melibatkan taktik penipuan yang menggunakan panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel palsu, dengan tujuan menipu bagi mengaut keuntungan wang daripada mangsa,” kata kenyataannya itu semalam.

Sehubungan itu, orang awam dinasihati agar sentiasa berwaspada terhadap cara bagaimana penipuan ini beroperasi bagi mengelak daripada menjadi mangsa oleh sindiket penipuan ini.  

Penipuan melalui panggilan palsu dibuat secara rawak oleh ‘scammer’ yang biasanya menyamar sebagai pegawai bank,  penguat kuasa seperti pegawai-pegawai polis, kastam, mahkamah dan lain-lain wakil kerajaan.  

Pemanggil ‘scammer’ akan memberitahu bahawa mangsa mempunyai tunggakan hutang kad kredit, pinjaman yang dibuat atas nama mangsa yang belum selesai atau alasan bahawa mangsa telah melanggar undang-undang negara.

“Penipuan e-mel pula kebiasaannya melibatkan e-mel palsu kononnya daripada institusi perbankan yang menyatakan bahawa akaun bank anda perlu dikemas kini atau dibekukan akibat daripada aktiviti yang melanggar undang-undang,” tambahnya.

Scammer seterusnya akan meminta mangsa mengemas kini maklumat perbankan seperti log masuk dan kata laluan dengan mengklik pautan yang disertakan dalam e-mel palsu.  

“Jangan terpedaya atau panik dan jangan sesekali klik pada pautan palsu tersebut.

“Selain panggilan dan e-mel palsu, sindiket ‘Macau Scam’ juga menggunakan taktik SMS di mana ‘scammer’ akan cuba memperdaya mangsa melalui SMS yang dihantar secara rambang dengan menyatakan terdapat pembelian yang telah dibuat menggunakan kad kredit mangsa.

“SMS palsu sebegini akan disertakan dengan nombor telefon yang akan disambungkan kepada sindiket,” katanya.

Sekiranya anda menerima SMS sedemikian, segeralah menghubungi pihak bank anda melalui nombor yang tertera di belakang kad kredit anda atau nombor yang terdapat di laman sesawang bank anda.

Selain itu, ‘scammer’ juga mungkin akan meminta nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) bank melalui SMS atau panggilan telefon.  

“Jika anda berada dalam situasi ini, tamatkan panggilan secepat mungkin dan elakkan daripada mendedahkan butiran akaun bank atau sebarang maklumat mengenai nombor TAC anda.

“Penipuan Keldai Akaun juga dilihat semakin aktif dan telah menyebabkan ramai mangsa terjerat dalam jenayah penipuan kewangan.  

“Sindiket Keldai Akaun akan menjerat mangsa dengan menjanjikan pulangan yang lumayan sebagai pertukaran untuk menggunakan akaun perbankan mangsa termasuk kad ATM,” jelasnya.

Mangsa yang tertipu akan menyerahkan maklumat peribadi seperti log masuk  atau kata laluan bank kepada sindiket.  

Setelah berjaya mendapatkan kata laluan dan kad ATM, sindiket penipuan ini akan menggunakan akaun mangsa untuk melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Sekiranya ditangkap pihak berkuasa, pemilik akaun bank tersebut akan dikenakan tindakan undang-undang.  

Jika pemilik akaun bank tersebut didapati terlibat, pemilik akaun mungkin akan menghadapi masalah untuk membuka akaun bank, kesukaran mendapat kemudahan pinjaman dan produk perbankan lain.

Orang ramai dinasihati sentiasa berhati-hati sekiranya menghadapi situasi-situasi sebegitu.  

Jangan sesekali panik dan mengikut arahan yang diberikan penjenayah atau sindiket penipuan.  

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak mendedahkan maklumat atau butiran akaun bank kepada orang lain kerana maklumat sebegini adalah informasi sulit dan perlu dirahsiakan setiap masa.

Untuk maklumat lanjut dan khidmat nasihat terkini berhubung penipuan kewangan, layari www.abm.org.my atau hubungi talian ABMConnect di 1300-88-9980.

Advertisement