Anda di sini

‘Bombshell’ dahului senarai pencalonan anugerah SAG

Advertisement
MARGOT ROBBIE
MARGOT ROBBIE

FILEM ‘Bombshell’, sebuah drama tentang dakwaan gangguan seksual di Fox News, mendahului pencalonan filem untuk Screen Actors Guild (SAG) Awards pada Rabu lepas dan akan bersaing untuk hadiah utama bagi barisan pelakon terbaik.

Filem terbitan Lions Gate Entertainment itu memperolehi empat pencalonan pada keseluruhannya, termasuk pencalonan bagi aktres utama Charlize Theron serta dua aktres pembantu Nicole Kidman dan Margot Robbie.

Calon lain bagi anugerah barisan pelakon terbaik adalah filem epik Mafia ‘The Irishman’, drama sejarah zaman 1960an arahan Quentin Tarantino ‘Once Upon a Time in Hollywood’, satira era Nazi ‘Jojo Rabbit’ dan ‘Parasite’, sebuah satira sosial dari Korea Selatan.

Anugerah SAG dipantau dengan dekat sebagai petunjuk kepada kejayaan di Anugerah Oscar kerana pelakon membentuk kumpulan pengundi terbesar di dalam Academy of Motion Picture Arts and Sciences.

Pemenang akan diumumkan dalam satu majlis yang disiarkan menerusi televisyen di Los Angeles pada 19 Januari.

‘Bombshell’, yang mengadakan tayangan sulung di pawagam Amerika Syarikat pada Jumaat, menceritakan kisah wanita di Fox News yang membuat dakwaan salah laku seksual pada 2016 sehingga membawa kepada penyingkiran pengasas rangkaian, Roger Ailes. Ailes, yang meninggal dunia setahun kemudian, menafikan tuduhan tersebut.

Theron membawa watak bekas pembaca berita utama Fox News, Megyn Kelly manakala Kidman berlakon sebagai bekas pengacara Fox News, Gretchen Carlson. Robbie membawa watak seorang kakitangan Fox News yang direka namun komposit.  

“Ketika cerita ini dilaporkan, ia hanya sebahagian kecil sahaja daripada perkara sebenar, dan dua tahun kemudian, kita mendapati diri dengan semua dakwaan ini terhadap begitu ramai lelaki dalam kedudukan berpengaruh,” kata Theron, salah seorang penerbit filem itu, kepada Reuters di tayangan perdana permaidani merah bagi ‘Bombshell’ di Los Angeles pada Selasa lepas.

Fox News pada Rabu lepas tidak ada kenyataan mengenai filem itu selain menyatakan bahawa tidak ada pihak dari filem itu yang menghubungi rangkaian tersebut untuk menyemak fakta cerita mereka.

Filem terbitan Netflix Inc ‘The Irishman’ mendapat pencalonan SAG bagi dua pelakon pembantu Al Pacino dan Joe Pesci tetapi tiada untuk bintang Robert De Niro, yang dijadual menerima penghormatan bagi pencapaian sepanjang hayat di majlis anugerah berkenaan.

Calon lain termasuk Brad Pitt dan Leonardo DiCaprio untuk filem terbitan Sony Corp ‘Once Upon a Time in Hollywood’ dan Scarlett Johansson untuk drama perceraian ‘Marriage Story’ dan untuk ‘Jojo Rabbit’.

Dalam kategori televisyen, Apple Inc menerima pencalonan untuk bintang-bintang ‘The Morning Show’, Jennifer Aniston, Steve Carell dan Billy Crudup.

Drama ini mengenai sebuah rangkaian berita rekaan yang digegarkan oleh dakwaan salah laku seksual distrim dalam khidmat langganan baharu milik Apple, Apple TV+.

Siri TV yang bersaing dalam kategori utama termasuk ‘Game of Thrones’, ‘The Crown’, ‘Fleabag’ dan ‘The Marvelous Mrs Maisel’. — Reuters

Advertisement