Anda di sini

Ombak besar mimpi ngeri penduduk setiap kali tibanya musim tengkujuh

Advertisement
 Orang ramai melihat sebuah perigi yang kini tidak dapat digunakan berikutan hakisan pantai yang berlaku ketika tinjauan di Pantai Pengkalan Maras, Kuala Nerus semalam. — Gambar Bernama
TUMPUAN: Orang ramai melihat sebuah perigi yang kini tidak dapat digunakan berikutan hakisan pantai yang berlaku ketika tinjauan di Pantai Pengkalan Maras, Kuala Nerus semalam. — Gambar Bernama

KUALA NERUS: Saban tahun, apabila tiba sahaja musim tengkujuh penduduk di sekitar pantai Kuala Nerus akan dihantui rasa resah dan gelisah berikutan fenomena ombak besar yang menyebabkan kawasan pantai semakin terhakis, sehingga memusnahkan kediaman dan premis perniagaan mereka.

Meskipun masalah ini telah berlaku lebih 10 tahun lalu namun beberapa peniaga dan penduduk yang tinggal berhampiran Pantai Pengkalan Maras berkata kejadian hakisan tanah ekoran ombak besar semakin ‘menjadi-jadi’ dalam tempoh tiga tahun ini.

Malah ada yang menyifatkan fenomena ombak besar dan hakisan pantai pada tahun ini adalah yang paling buruk yang pernah dilalui mereka.

Seorang penduduk Kampung Pengkalan Maras di sini, Zaleha Abdul Wahid, 56,  berkata dua bulan lepas hakisan pantai telah meruntuhkan sebuah dewan kecil yang dibina sejak tiga tahun lalu.

“Dahulu kawasan ini ada jalan raya lepas itu baru dewan. Dewan itu selalu orang kampung buat makan-makan seperti jamuan Hari Raya dan sebagainya. Namun kini dewan dan jalan raya tersebut tidak ada lagi sebab tanah pantai terhakis,” katanya ketika ditemui Bernama di Pantai Pengkalan Maras, di sini.

Zaleha berkata walaupun terdapat pengumuman peruntukan untuk projek kawalan hakisan pantai, namun ia hanya dijangka bermula pada tahun hadapan dan penduduk kampung berasa bimbang kerana pelbagai ‘kemungkinan’ boleh berlaku dalam masa terdekat ini.

“Kalau tengok perigi yang ada di pantai ini, bulan lepas hanya dua gelung simen yang kelihatan, kini kita boleh lihat lapan gelung simen pada perigi itu. Sudah 10 tahun perigi itu dibina untuk kegunaan nelayan, ini kali pertama boleh nampak bentuk asalnya.

“Jadi sementara hendak tunggu projek kawalan hakisan tersebut dimulakan, air boleh melimpah sehingga ke kawasan rumah. Musim tengkujuh pun dijangka berakhir bulan Mac tahun depan,” katanya. — Bernama

Advertisement