Anda di sini

Netflix dominasi pencalonan Golden Globes, Harrington calon aktor TV terbaik

Advertisement

PENGGANGGU Hollywood Netflix mendominasi pencalonan Golden Globe pada Isnin lepas apabila drama perceraiannya yang menyayat hati ‘Marriage Story’ menerima enam pencalonan termasuk drama terbaik, untuk melancarkan perebutan bagi anugerah Oscar.

Gergasi striming itu, yang berbelanja berbilion dolar untuk menarik bakat pembikinan filem terkemuka dalam industri perfileman dan membiayai kempen musim anugerah yang mewah, mengatasi studio Tinseltown yang tradisional dengan 17 pencalonan filem.

“Saya tidak terkejut dengan dominasi itu – saya terkejut dengan kebesaran dominasi itu,” kata Lorenzo Soria, presiden Persatuan Media Asing Hollywood (HFPA), kepada AFP di majlis berkenaan di Beverly Hills.

“Pengumuman pada pagi ini seumpama memasuki zaman kematangan bagi khidmat striming.”

‘The Irishman’, filem gengster epik sepanjang tiga setengah jam arahan Martin Scorsese juga dari Netflix, memperolehi lima pencalonan, seri di tempat kedua dengan ‘Once Upon a Time in Hollywood’, surat cinta Quentin Tarantino yang nostalgik kepada Tinseltown pada zaman 1960an.

Pencalonan itu menurut tradisi menyaksikan bintang dan filem yang ditakdirkan untuk memenangi anugerah mula memisahkan diri daripada saingan – Anugerah Golden Globe dilihat sebagai penentu penting bagi Anugerah Akademi pada Februari.

‘Marriage Story’ menerima pencalonan untuk dua bintangnya Scarlett Johansson dan Adam Driver, dan untuk lakon layarnya, tetapi Noah Baumbach tidak dicalonkan bagi pengarah terbaik.

Filem itu menggambarkan bagaimana cinta yang kelihatan stabil dapat dirobek selepas aktres lakonan Johansson berpindah dari New York ke Los Angeles, dengan memanggil peguam untuk berpisah daripada seorang pengarah teater yang mementingkan diri lakonan Driver.

Scorsese dicalonkan untuk pengarah terbaik bagi ‘Irishman’ tetapi tiada pencalonan pelakon terbaik untuk pelakon utamanya Robert De Niro. Sebaliknya, Al Pacino dan Joe Pesci dipilih untuk peranan pelakon pembantu.

Untuk ‘Once Upon a Time...’, dua bintang Leonardo DiCaprio dan Brad Pitt dimasukkan ke dalam senarai pendek pelakon terbaik, bersama Tarantino untuk pengarahan.

Filem itu membantu Sony mendapatkan lapan pencalonan dan menduduki tempat kedua pada keseluruhannya.

‘The Two Popes’ terbitan Netflix yang membayangkan siri perbahasan di antara Pope Benedict yang tegas dan konservatif dengan penggantinya yang berkarisma Francis, juga mempamerkan prestasi yang baik untuk penstrim itu, dengan memperolehi pencalonan bagi lakonan untuk Jonathan Pryce dan Anthony Hopkins.

Dan saluran kepulangan bagi Murphy ‘Dolemite Is My Name’ menambah dua lagi pencalonan untuk Netflix dalam genre komedi.

Penstrim itu memperolehi tiga pencalonan filem pada tahun lepas, untuk drama hitam putih berbahasa Mexico ‘Roma’.

Anugerah Golden Globes, yang memaparkan anugerah berasingan bagi drama dan muzikal/komedi, terkenal kerana memihak kepada filem yang dibarisi bintang-bintang dan berjaya di ‘box office’, selalunya tanpa mempedulikan reviu pengkritik.

Kisah buku komik gelap ‘Joker’, yang mengaut lebih AS$1 bilion di seluruh dunia walaupun menerima pelbagai reviu daripada pengkritik, dicalonkan untuk drama terbaik, pelakon lelaki terbaik (Joaquin Phoenix) dan pengarah terbaik (Todd Phillips).

Namun kira-kira 90 anggota HFPA sekali lagi tidak memilih pengarah wanita, dengan pengemudi ‘Little Women’ Greta Gerwig khususnya ketara tidak dicalonkan.

“Ini bukan orang kita dan mereka tidak mewakili kita,” tweet Alma Har’el, pengarah drama zaman kanak-kanak ‘Honey Boy’ yang tidak dicalonkan.

“Jangan cari keadilan dalam sistem anugerah. Kita sedang membina dunia baharu.”

Menggariskan keunggulannya, Netflix juga memperolehi paling banyak pencalonan televisyen, dengan 17 pencalonan.

Siri terbaharu mengenai drama kerabat diraja ‘The Crown’, yang memaparkan barisan pelakon serba baharu diketuai Olivia Colman, memperolehi empat pencalonan untuk sama-sama berada dalam kelompok empat filem teratas.

Saluran saingan HBO mendapat 15 pencalonan, tetapi musim terakhir ‘Game of Thrones’ yang dikritik hebat hanya memperolehi satu pencalonan sahaja, untuk pelakon utama Kit Harington.

Platform striming baharu Apple TV+, yang dilancarkan pada bulan lepas, memperolehi pencalonan pertamanya, untuk program pelancaran utama ‘The Morning Show’.

Dua aktres utama Jennifer Aniston dan Reese Witherspoon, yang turut menerbitkan siri berkenaan sebagai penerbit eksekutif tentang sebuah program berita pagi yang terjejas kerana skandal #MeToo, telah dicalonkan.

Dan Meryl Streep memecah rekodnya sendiri selepas dia menerima pencalonan Globe ke-24 untuk ‘Big Little Lies’ terbitan HBO.

Anugerah Golden Globe ke-77 akan berlangsung di Los Angeles pada 5 Januari, dua hari sebelum undian bagi pencalonan anugerah Oscar berakhir. — AFP

Advertisement