Anda di sini

Kerajaan minta maklumat terperinci tawaran pengambilalihan PLUS dikemukakan sekali lagi

Advertisement
 Baru menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Agung dan Majlis Makan Malam Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia di Peteling Jaya, kelmarin. — Gambar Bernama
AMANAT: Baru menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Agung dan Majlis Makan Malam Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia di Peteling Jaya, kelmarin. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan meminta supaya maklumat terperinci berhubung tawaran pengambilalihan syarikat konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd dikemukakan sekali lagi oleh pihak yang berminat, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Beliau berkata perkara itu diminta oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya segala maklumat dapat disemak semula sebelum kerajaan membuat sebarang kelulusan.

Bagaimanapun katanya tiada tempoh masa ditetapkan untuk perkara itu dilakukan.

Setakat ini kerajaan menerima lima tawaran untuk mengambil alih konsesi lebuh raya PLUS, katanya ketika ditemui pemberita pada majlis makan malam dan perasmian mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) kali pertama di sini malam kelmarin.

Sebelum ini dilaporkan Putrajaya mengesahkan ia menerima empat tawaran rasmi daripada pihak yang berminat untuk mengambil alih PLUS iaitu Widad Group Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad.

 Selain itu Kementerian Kewangan turut dilaporkan berminat untuk mengambil alih pegangan Khazanah dalam PLUS berikutan Putrajaya mahu mencegah aset penting itu daripada jatuh ke tangan syarikat swasta.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis tersebut, beliau berkata dalam era perubahan teknologi yang sangat dinamik terutamanya di zaman Revolusi Industri 4.0 kini cabaran yang dihadapi juga semakin kompleks dan mencabar untuk kontraktor Bumiputera.

“Justeru, saya menyeru kontraktor yang hadir pada hari ini terutamanya golongan belia agar terus meningkatkan produktiviti, kemahiran dan pengetahuan masing–masing dalam industri pembinaan melalui penggunaan teknologi terkini dan merebut peluang yang ada bagi meningkatkan daya saing di peringkat dunia.

“Sejajar dengan matlamat Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk industri pembinaan serta pendigitalan industri pembinaan, KKR memberikan tumpuan kepada penggunaan teknologi seperti sistem pembinaan secara industri, ‘Highway Information Modelling’ dan ‘Building Information Modelling’ dalam industri pembinaan,” katanya. — Bernama

Advertisement