Anda di sini

Fucuk Azfi keluaran Bumiputera dapat sambutan ramai

Advertisement
 Ahmad Zaki menunjukkan fucuk atau tauhu kering yang diusahakannya di bawah jenama Ahmad Zaki Food Industry (AZFI) sejak Ogos tahun lalu, ketika ditemui baru-baru ini. — Gambar Bernama
BERKUALITI: Ahmad Zaki menunjukkan fucuk atau tauhu kering yang diusahakannya di bawah jenama Ahmad Zaki Food Industry (AZFI) sejak Ogos tahun lalu, ketika ditemui baru-baru ini. — Gambar Bernama

IPOH: Kacang soya merupakan sejenis tumbuhan yang kaya dengan pelbagai khasiat terutama protein dan ia boleh dinikmati dalam pelbagai bentuk sama ada minuman atau makanan.

Satu daripada produk soya yang digemari rakyat negara ini untuk melengkapi hidangan masakan seperti lontong adalah fucuk atau tauhu kering kerana rasanya yang agak berlemak selain tekstur yang lembut.

Bertitik tolak daripada itu, Ahmad Zaki Zakaria, 45, nekad mengusahakan perusahaan fucuk kering di bawah jenama Ahmad Zaki Food Industry (AZFI) sejak Ogos tahun lalu bagi memenuhi permintaan ramai dan menjadi usahawan Bumiputera berjaya.

Ahmad Zaki yang sebelum ini bekerja dalam pelbagai bidang termasuk kontraktor balak berkata untuk memastikan dirinya benar-benar memiliki ilmu pengetahuan untuk menghasilkan fucuk bermutu, beliau telah  pergi ke Shandong, China tahun lalu.

“Saya memilih untuk belajar di Shandong selama dua minggu kerana saya difahamkan di situlah tempat lahirnya pembuatan fucuk. Selain itu, saya turut membeli mesin berharga kira-kira RM60,000 di sana,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Menurut ayah kepada empat anak itu,  empat hari dalam seminggu, beliau bersama tiga pekerja termasuk anak sulungnya Ahmad Danial Aiman akan memproses 1,200 peket setiap hari untuk dijual kepada pelanggan tetap selain ejen.

Dengan anggaran pengeluaran 15,000 hingga 18,000 peket sebulan, Ahmad Zaki berkata produk fucuk AZFI kini dipasarkan ke Terengganu, Johor Bahru, Kedah dan Kuala Lumpur.

Beliau yang turut memiliki kilang membuat bihun di Malim Nawar, Kampar, namun terpaksa diberhentikan sementara kerana masalah mesin, berkata fucuk yang diproses di pekarangan rumahnya di Taman Rapat Setia Baru di sini dijual pada harga RM2.40 sepeket dengan berat bersih 50 gram.

Berkongsi proses membuat fucuk, Ahmad Zaki berkata ia memerlukan kesabaran dan ketelitian iaitu kacang soya perlu direndam semalaman, dikukus dan dikisar sebelum dimasak semula menggunakan tiga mesin khas yang mempunyai 36 set dulang khas keseluruhannya.

“Apabila masak akan timbul lapisan berkedut dan selepas itu lapisan tersebut diangkat dan dikeringkan. Satu dulang boleh menghasilkan lima hingga enam (lapisan) keping fucuk sebelum diletak semula kacang soya yang baharu,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Danial Aiman, 18,  berkata beliau bertanggungjawab mempromosikan perniagaan ayahnya di laman media sosial dan seterusnya membawa nama fucuk AZFI dikenali masyarakat setempat dan juga luar dari Perak.

Ahmad Danial Aiman yang kini menuntut di Politeknik Banting, Selangor dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal berkata selain di laman sosial, dia bertekad meletakkan jenama fucuk AZFI dalam aplikasi WhatsApp secara berkumpulan.

“Alhamdulillah, sejak itu, produk AZFI tular dan ramai bertanya mengenai fucuk termasuk pengusaha bukan Muslim kerana banyak permintaan daripada masyarakat Islam,” katanya yang turut diberi gelaran ‘tauke fucuk’ kerana banyak berurusan dengan pelanggan dan ejen.

Menurut Ahmad Danial Aiman lagi, beliau bercita-cita untuk mengambil alih perniagaan itu, namun ia tidak bermaksud beliau akan mensia-siakan pelajarannya. — Bernama

Advertisement