Anda di sini

Bekas lombong emas di Bau dijadikan produk pelancongan

Advertisement
 Henry (kiri) meninjau persiapan di Dataran Bazaar Krokong, Bau semalam bagi majlis bersama Ketua Menteri, Sabtu ini.
PANTAU: Henry (kiri) meninjau persiapan di Dataran Bazaar Krokong, Bau semalam bagi majlis bersama Ketua Menteri, Sabtu ini.

BAU: Bekas kawasan perlombongan emas yang terdapat daerah ini akan digazetkan sebagai tapak warisan bagi Muzium dan Taman Lombong Emas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep berkata bekas kawasan perlombongan ini merupakan sebahagian daripada produk pelancongan yang berpotensi untuk dimajukan.

“Bekas kawasan perlombongan ini boleh dihidupkan kembali sebagai bahan rujukan sejarah kepada para pelajar sekolah.

“Malah saya rasa ia boleh dijual sebagai produk pelancongan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Dataran Bazaar Krokong di sini semalam.

Tambah Henry, berdasarkan lawatan beliau ke New Zealand dan Melbourne, Australia beliau mendapati Bau mempunyai produk yang sama seperti di dua negara ini.

Malah katanya, untuk New Zealand dan Melbourne menarik pelancong dari China adalah sangat jauh.

Tetapi untuk pelancong China datang ke sarawak adalah sangat dekat dan hanya dalam enam jam penerbangan.

“Jadi kita mahu hidupkan kembali kawasan ini dan lihat bagaimana dapat kita pasarkannya sebagai produk pelancongan,” katanya.  

Bagi tujuan itu juga katanya, satu Taman Lombong dan Muzium Emas akan dibangunkan di tepi Tasik Biru bagi melengkapkan produk pelancongan yang terdapat di tasik tersebut.

Selain itu, katanya semua bekas mesin dan alat yang terdapat di kawasan bekas lombong juga akan digazetkan sebagai produk pelancongan.

“Kita ada peruntukan RM1.5 juta untuk kajian dan penyelidikan. Sekarang kita tunggu kerajaan meluluskan bajet bagi memulakan projek untuk membangunkan Taman Lombong dan Muzium Emas ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement