Anda di sini

UNION sokong penuh inisiatif SPRM mencegah rasuah dan membudaya integriti 

Advertisement
TALIB
TALIB

KUCHING: Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION) di bawah Jabatan Ketua Menteri menyokong penuh inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencegah rasuah dan membudayakan integriti. 

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip berkata sebagai menyokong inisiatif ini kerajaan negeri telah mewujudkan portfolio Integriti dan Ombudsman sejak 7 Januari 2017. 

Susulan daripada penubuhan portfolio ini, UNION diwujudkan di bawah Jabatan Ketua Menteri pada 1 Februari 2018. 

“UNION telah mengambil langkah pertama dengan kerjasama Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), memperkenalkan program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di Sarawak. 

“Setakat ini seramai 94 orang pegawai perkhidmatan awam negeri telahpun tamat menjalani program ini. 

“Dengan adanya pegawai-pegawai integriti bertauliah ini yang berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan negeri, ia mampu meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri,” katanya menerusi kenyataan media. 

Dalam pada itu sehingga 1 November tahun ini, sebanyak 89 program telah dijalankan melibatkan penyertaan seramai 27,921 orang. 

Bagi tahun 2019 menurut Talib, sebanyak 41 program telah dilaksanakan dengan penglibatan peserta seramai 12,136 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat. 

Antaranya, Majlis Amanat Perdana Integriti (MAPI2019) pada 11 Februari 2019, Seminar Integriti Masjid dan Surau, Program Integriti Alam Sekitar dan program khusus untuk kanak-kanak iaitu Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya. 

“Dalam usaha memastikan pembudayaan integriti disemai dikalangan warga perkhidmatan awam negeri, UNION akan meneruskan beberapa siri program Etika dan Integriti serta program Do The Right Thing. 

“Program ini mensasarkan kumpulan pengurusan dan pelaksana dalam usaha memastikan mesej integriti sampai ke setiap peringkat pentadbiran dan lapisan dalam perkhidmatan awam negeri. 

“Selain itu, beberapa siri program The Integrity Coffee Talk juga akan diteruskan dengan objektif untuk mengupas isu-isu semasa berkaitan integriti dalam perkhidmatan awam negeri,” katanya.  

  • oleh
  • Advertisement