Anda di sini

MAVCOM akan laksanakan peralihan tugas sewajarnya susulan cadangan penggabungan dengan CAAM 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan menyerahkan semua peranan dan tanggungjawab statutori kepada Kementerian Pengangkutan susulan cadangan penggabungan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata tumpuannya kini adalah kepada kebajikan kakitangan dan menyerahkan peranan statutorinya dengan penuh tanggungjawab.  

“Saya akan bekerjasama dengan pesuruhjaya untuk melaksanakan peralihan sewajarnya bagi kakitangan, dan setelah itu, kami akan menyerahkan semua peranan dan tanggungjawab statutori kepada Kementerian Pengangkutan. Mereka kelaknya booleh membuat keputusan mereka. Dalam pada itu, kami akan terus menjalankan peranan kami seperti yang ditetapkan dalam Akta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai memberi reaksi kepada artikel oleh sebuah portal berita mengenai cadangan MAVCOM digabungkan dengan CAAM.

Nungsari mengakui bahawa MAVCOM telah dimaklumkan mengenai perkembangan terbaharu ini. 

MAVCOM adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan pada 1 Mac, 2016, di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 untuk mengawal selia urusan ekonomi dan komersial berkaitan dengan penerbangan awam.

Matlamat suruhanjaya itu adalah untuk menggalakkan industri penerbangan yang berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya tahan yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara. - Bernama 

Advertisement