Anda di sini

Lelaki mengaku salah tumbuk muka wanita didenda RM800

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki didenda RM800 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah menumbuk muka seorang wanita.

Mohmad Amshahril Abi, 38, dari Kampung Bakam di sini telah didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati dengan sengaja telah mencederakan seorang wanita, Nurafifah Zahari, 22, dengan cara menumbuk mangsa di sebelah kanan muka.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3 petang, 6 Disember lalu di persimpangan Jalan Tamu Kampung Bakam.

Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman ringan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.

Tambahan semasa kejadian, dia berasa kecewa dan gagal mengawal perasaan marahnya setelah mengetahui bahawa mangsa ada kaitan dengan kejadian isterinya lari dari rumah.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong di hadapan Hakim Steve Ritikos. Manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Advertisement