Anda di sini

Anak ugut bunuh bapa kerana enggan letak hantaran kahwin RM20 ribu

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki didenda RM6,000 Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mengugut bunuh bapanya yang enggan mengenakan hantaran kahwin RM20,000 terhadap bakal suami adiknya.

Majistret Zubaidah Sharkawi juga mengarahkan agar tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. 

Pada 5 November lalu, Handyka Oto, 31, tidak berpuas hati apabila ayahnya yang berusia 61 tahun serta adik perempuannya yang lain meminta hantaran wang kahwin terlalu sedikit daripada bakal iparnya.

Dia kemudian menyuruh mereka meminta hantaran lebih tinggi.

Namun, mereka tidak mengendahkan permintaan, lantas menyebabkan tertuduh mengamuk.

Tertuduh seterusnya bertindak mengugut bunuh ayahnya sendiri di rumah mereka di RPR Taman Sepakat Jaya, Jalan Demak pada jam 9 malam. 

Ayahnya berasa takut dengan ugutan tersebut dan membuat laporan polis sehingga membawa kepada penangkapannya pada 8 November lalu. 

Tertuduh telah melakukan ugutan jenayah dan didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Rogayah Rosli manakala Handyka tidak diwakili peguam. 

Tertuduh tidak membayar denda tersebut.

  • oleh
  • Advertisement