Anda di sini

SAREF medan untuk kongsi pengalaman tenaga diperbaharui

Advertisement
Dr Rundi berucap pada majlis makan malam sempena SAREF 2019 di BCCK. - Gambar oleh Chimon Upon
Dr Rundi berucap pada majlis makan malam sempena SAREF 2019 di BCCK. - Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Forum Tenaga Lestari dan Tenaga Diperbaharui (SAREF) 2019 merupakan satu kaedah bagi Sarawak untuk berkongsi dan menimba pengalaman dalam bidang tenaga diperbaharui.

Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, SAREF anjuran Sarawak Energy Berhad (SEB) bersama Kementerian Utiliti Sarawak itu memberikan peluang kepada Sarawak untuk belajar daripada pakar dari seluruh pelosok dunia berhubung bidang tenaga diperbaharui.

"Kami di Sarawak berasa teruja untuk berkongsi pengalaman dan pada masa yang sama, menimba pengetahuan daripada pakar atau delegasi dari dalam dan luar negara melalui forum ini.

"Sarawak mesti belajar dengan lebih lanjut mengenai tenaga diperbaharui daripada mereka yang sudah berada di peringkat tertinggi dalam bidang ini," katanya berucap di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam Selasa.

Menurut beliau juga, forum dua hari yang julung kali diadakan itu memperlihatkan komitmen kementerian yang sentiasa meneruskan usaha dalam memastikan Sarawak akan terus mempunyai tenaga diperbaharui. 

"Dengan anjuran forum sedemikian, kita boleh memainkan peranan besar atau menjadi penggerak utama dalam generasi campuran kita," ujarnya. 

Selain itu juga beliau berharap agar SAREF 2021 akan menampilkan lebih banyak penyertaan dan akan dianjurkan di tempat yang lebih besar. 

Turut hadir, Menteri Muda Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Liwan Lagang, Ketua Pegawai Eksekutif SEB Datu Sharbini Suhaili dan Pengerusi Lembaga Pengurusan, Pustaka Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo.

SAREF disertai kira-kira 500 delegasi dari serata negara, antaranya Singapura, Filipina, Indonesia, Taiwan, Jepun, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Pakar dan peneraju perniagaan dalam bidang berkaitan tenaga lestari dan tenaga boleh diperbaharui berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka ke arah sumber tenaga yang lebih mesra alam sekitar dalam forum ini.
 

  • oleh
  • Advertisement