Anda di sini

Penunggang motosikal maut nahas tiga kenderaan

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Datuk Stephen Yong, di sini sekitar jam 9.15 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan berkata mangsa Jonam Good, 27, dan berasal dari Kampung Sibuang, Padawan semasa kejadian bergerak dari arah Batu Kawa menuju ke Batu Kitang.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya yang kemudian terbabas lalu berlanggar dengan sebuah kereta dan sebuah lagi kenderaan jenis pacuan empat roda (4WD).

"Akibat perlanggaran tersebut, mangsa terpelanting ke atas jalan di arah bertentangan dan mengalami kecederaan parah di kepala.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa oleh anggota paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS)," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan lanjut kes juga masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kesemua kenderaan yang terlibat juga dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement