Anda di sini

Lelaki warga asing ditangkap bersama dadah di Bintulu

Advertisement
 

BINTULU: Tindakan seorang warga asing mencampak kotak rokok miliknya ke lantai bagi mengelak diperiksa tidak berhasil apabila polis menemui peket dan tiub straw yang mengandungi ketulan kristal disyaki syabu dalam kotak terbabit semasa operasi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di hadapan sebuah premis di Jalan Masjid di sini kelmarin. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu DSP Jame Reis berkata, susulan itu suspek yang berumur 32 tahun terus ditangkap dan dadah telah dirampas sebagai barang kes semasa operasi di lokasi terbabit sekitar jam 10.40 pagi oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Norkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu yang diketuai Sub Inspektor Mahdi Ramli.

Katanya, sebelum penahanan itu, suspek diperiksa berikutan dalam keadaan mencurigakan dan semasa ditahan suspek bertindak agresif dengan mencampak kotak rokok miliknya ke atas lantai. 

"Apabila kotak rokok itu dibuka dan diperiksa didalamnya mengandungi dua peket plastik lutsinar dan tujuh keratan tiub straw warna hijau dengan setiap satu berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah Methamphetamine (syabu) yang berat kasar keseluruhan 9.35 gram dan nilai pasarannya RM1,350," ujarnya dalam kenyataan media di sini hari ini. 

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal ke atas air kencing suspek yang merupakan seorang penganggur didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine (syabu), namun suspek tiada rekod kesalahan lampau dan suspek ditahan reman hari ini. 

Tambahnya, suspek ditahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana sekiranya sabit kesalahan hukuman yang diperuntukkan ialah penjara tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada tiga dan tidak lebih lima sebatan. 

Manakala Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 katanya, ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 dan pengawasan selama dua tahun.

  • oleh
  • Advertisement