Anda di sini

JSJK catat 130 kes ‘Macau Scam’ Jan hingga 8 Dis

Advertisement

KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak merekodkan 130 kes penipuan dalam talian atau dikenali sebagai ‘Macau Scam’ untuk tempoh Januari hingga 8 Disember lepas.

Ketuanya Superintenden Mustafa Kamal Ghani berkata, daripada jumlah kes tersebut, 71 mangsa adalah lelaki dan 59 wanita dengan kaum Cina mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 86 orang.

Menurutnya, sebanyak RM9.1 juta kerugian dicatatkan sepanjang tempoh itu.

“Jumlah mangsa mengikut pecahan bangsa ialah kaum Cina mencatatkan jumlah teramai iaitu 86 orang, diikuti Melayu (15), Iban (13), Melanau (5) dan Bidayuh (3).

“Manakala bangsa lain seperti Lumbawang, Bisaya, India, Sikh, Bugis, Bajau, Kenyah serta Siam masing-masing merekodkan seramai seorang mangsa,” katanya.

Sementara pecahan mangsa mengikut pekerjaan pula merekodkan golongan tidak bekerja seperti pesara mencatatkan jumlah teramai iaitu 61 orang, diikuti sektor swasta seramai 49 orang dan kerajaan 20 orang.

“Ramai dalam kalangan kita yang tahu tentang jenayah ‘Macau Scam’ ini, namun ramai juga yang tidak mahu ambil peduli malah golongan profesional seperti doktor, peguam, guru dan banyak lagi turut menjadi mangsa,” katanya.

Jelasnya lagi, Miri mencatatkan jumlah kes terbanyak iaitu 40 kes, diikuti Kuching (32), Sibu (27), Padawan (7), Bintulu (6), Kota Samarahan dan Sarikei (3), Saratok, Sri Aman dan Mukah (2), Betong, Kapit, Serian, Bau, Belaga, dan Lawas masing-masing satu kes.

“Miri merekodkan jumlah tertinggi, malah yang berjaya diselamatkan setelah mereka menghubungi saya tidak kurang daripada lima orang sehari,” katanya.

Difahamkan, hasil siasatan polis setakat semalam membawa kepada penangkapan seramai 58 orang yang terdiri daripada 56 warga tempatan dan dua lagi warga Indonesia.

“Seramai 26 suspek telah dituduh di mahkamah atas 51 pertuduhan,” katanya.

Sebarang pertanyaan atau laporan berhubung jenayah ‘Macau Scam’ boleh menghubungi JSJK Infoline menerusi talian Infoline 013-2111 222 atau berhubung terus dengan Mustafa (019-7000577).

“Pilihan paling mudah untuk mengelakkan diri dari ditipu letakkan sahaja panggilan telefon yang menuduh anda berhutang, melakukan jenayah, langgar lari dan pelbagai lagi alasan.

“Jangan panik dan menuruti kehendak suspek, walau apapun alasan atau ugutan mereka,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement