Anda di sini

Anugerah Filem Digital Malaysia di Finas pada Sabtu Ini

Advertisement
 Gambar fail menunjukkan Ahmad Idham (kiri) semasa satu temubual di Bernama Radio. — Gambar Bernama
TAMAT KONTRAK LEBIH AWAL: Gambar fail menunjukkan Ahmad Idham (kiri) semasa satu temubual di Bernama Radio. — Gambar Bernama

SEJUMLAH 85 penyertaan akan merebut 16 kategori anugerah pada acara Malaysian Digital Film Awards atau Anugerah Filem Digital Malaysia (MDFA) ke-4 di Pawagam Mini P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang pada Sabtu ini.

Acara dua tahun sekali itu dianjurkan oleh Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia (Semesta) dengan kerjasama Finas.

Kurator MDFA, Dr Fikri Jermadi berkata penyertaan terdiri daripada penerbitan pelbagai genre, antaranya Filem Cereka Digital, Filem Pendek Digital, Dokumentari Digital, Animasi Digital dan Video Muzik Digital.

“Dengan perkembangan teknologi digital, kami menganjurkan anugerah ini bagi mencari produk digital terbaik dengan pelbagai kandungan yang memenuhi cita rasa pelbagai segmen audiens,” katanya.

Turut dianjurkan secara serentak dengan MDFA ialah ‘Young Filmmakers Forum’ atau Forum Pembikin Filem Muda (YFF) yang membincangkan pelbagai isu mencakupi bidang perfileman dan multimedia.

Fikri berkata, untuk edisi keempat ini YFF menampilkan tiga pembikin filem muda iaitu Ineza Roussille (pengarah ‘M for Malaysia’), Muzzamer Rahman (pengarah ‘Prebet Sapu’) dan Nadiah Hamzah (pengarah ‘Motif’).

Antara pemenang terdahulu ialah Ellie Suriati Omar dengan filem ‘Penanggal’ yang dipilih sebagai Filem Cereka Digital Terbaik dalam MDFA 2013.

Dalam perkembangan lain, Ahli Lembaga Pengarah Finas telah menerima dan meluluskan, permohonan Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Idham Ahmad Nadzri, untuk memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan kepada 10 Mac tahun depan.

Unit Komunikasi Korporat Finas dalam kenyataannya kelmarin memaklumkan, pemendekan tempoh kontrak perkhidmatan tersebut adalah atas sebab peribadi.

“Justeru, Finas ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahmad Idham atas segala sumbangannya, sepanjang berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas,” menurut kenyataan tersebut.

Finas juga turut mendoakan kejayaan beliau pada masa hadapan.

Ahmad Idham sebelum ini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 11 Mac tahun ini. — Bernama

Advertisement