Anda di sini

15 Januari dengar laporan sosial kes remaja bakar dan bom kereta

Advertisement

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini semalam menetapkan 15 Januari depan untuk mendengar laporan sosial bagi kes seorang remaja yang mengaku bersalah membakar dan cuba mengebom kereta sehingga mendatangkan kecederaan kepada abang dan adik ipar kakaknya.

Hakim Marutin Pagan menetapkan demikian berikutan tertuduh merupakan pesalah muda.

Justeru, Vincent Gary Jeng, 19, kini ditahan di Sekolah Henry Gurney sementara menunggu tarikh tersebut.

Menurut fakta kes, pada 10 Ogos lalu di rumah mereka di Kampung Stenggang, Bau, tertuduh meminta kunci kereta milik bapanya.

Namun abangnya, Nicholas Jeng dan adik ipar kakaknya, Andrew Eskemar enggan memberi kunci tersebut kerana dilarang oleh bapa mereka.

Tertuduh kemudian berang lalu keluar dari rumah dan kembali membawa botol plastik yang berisi minyak petrol.

Dia kemudian menyimbah minyak petrol tersebut pada kereta bapanya, pintu pagar dan dinding rumah mereka sebelum bertindak membakar dengan menggunakan pemetik api.

Kejadian jam 8 malam itu juga menyaksikan Nicholas dan Andrew cuba menghalang tindakan tertuduh, namun mereka berdua turut disimbah dengan minyak petrol.

Akibatnya, api pada kereta tersebut telah menyambar mereka berdua dan menyebabkan mereka melecur.

Nicholas, 26, melecur 14 peratus pada badan hingga bahagian kepala, manakala Andrew, 25, melecur pada bahagian kaki.

Menurut fakta kes juga, tertuduh memperoleh minyak petrol tersebut daripada rumah ladang mereka, manakala bom berkenaan adalah bahan letupan kuari milik mendiang bapa saudaranya.

Kerana melakukan khianat dengan api dengan membakar kereta milik bapanya, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 KK.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, kerana dengan sengaja mencederakan Nicholas dan Andrew menggunakan bahan api, tertuduh didakwa dibawah Seksyen 326 KK.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nadratun Naim Mohd Saidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement