Anda di sini

Tiada rusuhan kaum, agama di Sarawak

Advertisement
 Asfia (lima kiri) bersama Nicholas (kiri), Henry, Dr Abdul Rahman, Paulus, Fatimah, Mary dan Maimunah memotong kek Krismas bersama-sama.
RAIKAN BERSAMA: Asfia (lima kiri) bersama Nicholas (kiri), Henry, Dr Abdul Rahman, Paulus, Fatimah, Mary dan Maimunah memotong kek Krismas bersama-sama.

LIMBANG: Tiada rusuhan kaum dan agama berlaku di Sarawak kerana Sarawak terkenal dengan kekuatan dan hubungan harmoni antara kepelbagaian suku kaum yang terdapat di negeri ini.

Pemangku Yang di-Pertua Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, hubungan rapat antara kaum menjadi ramuan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini membentuk hidup aman damai tanpa perpecahan.

Beliau berkata, rakyat Sarawak yang terdiri daripada 30 kumpulan etnik dengan kepercayaan agama dan latar belakang yang sangat berbeza berjaya mengukuhkan perpaduan dan hidup dalam keadaan damai serta harmoni yang menjadi amalan sejak dulu lagi.

“Sarawak berjaya mengekalkan sejarahnya sebagai sebuah negeri yang aman dan tiada rusuhan kaum dan agama berlaku.

“Malah hari ini pelbagai kaum memeriahkan perayaan setiap kaum, sekali gus merapatkan silaturahim dan hubungan bersama,” katanya pada Majlis Makan Malam Pra-Krismas di sini, malam kelmarin.

Turut hadir isterinya Datuk Fatimah Mohd Iskandar, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan isteri Datin Dayang Maimunah Awang Mohd Daud, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agung,  ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan isteri Mary Sindang serta Temenggung Nicholas Buyok Pura.

Asfia berkata lagi, setiap kaum tidak akan merasai kemakmuran ekonomi kalau tidak ada kestabilan politik.

“Kuncinya adalah melalui keharmonian agama dan kaum,” jelasnya.

Menurut beliau, kekayaan sumber alam dan ekonomi Sarawak yang kukuh tidak akan dirasai sekiranya rakyat berperang dan bergaduh sesama sendiri.

“Kita mesti berusaha menolong mereka yang kurang upaya dan tidak berdaya.

“Pemimpin yang hanya mementingkan diri sendiri dan bukannya keperluan rakyat hanya akan menyebabkan negeri dan negara tidak akan maju,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement