Anda di sini

Skim latihan kemahiran percuma kepada B40 diperluas

Advertisement
 Alice (tiga kiri) berjumpa dan menyapa klien NIOSH pada Sesi Jumpa dan Sapa di Kuching semalam. — Gambar Chimon Upon
MESRA: Alice (tiga kiri) berjumpa dan menyapa klien NIOSH pada Sesi Jumpa dan Sapa di Kuching semalam. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Program latihan kemahiran percuma kepada kumpulan pekerja isi rumah berpendapatan rendah (B40) akan diperluaskan ke Sarawak dan Sabah tahun depan.

Program yang dikenali sebagai Skim B40 Capacity Building ini dikendalikan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Pengerusi NIOSH Alice Lau berkata program perintis bagi skim ini telah dijalankan di Semenanjung Malaysia tahun ini melibatkan seramai 100  pekerja B40.

Di bawah program ini, katanya pekerja diberi kursus latihan secara percuma selama sebulan bagi menambah nilai kemahiran pekerja dalam pasaran kerja.

“Tahun depan, kita akan membawa program ini ke Sarawak dan Sabah dan kita sasarkan antara 250 hingga 300 pekerja B40 Sarawak mengikuti program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Jumpa dan Sapa Bersama Klien NIOSH di sebuah hotel terkemuka di sini semalam. 

Tambah Alice, sebagai permulaan untuk program di Sarawak tahun depan, latihan ini akan dijalankan di Kuching dan akan diperluaskan ke Miri, Bintulu dan Sibu.

Permohonan katanya, boleh dibuat secara atas  talian untuk tapisan NIOSH dan hanya mereka yang serius serta memenuhi terma dan syarat akan diambil bagi program ini.

Program ini menurut Alice dibiayai sepenuhnya oleh Perbadanan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dengan dana hampir RM10 juta termasuk penginapan, makanan dan elaun RM35 sehari bagi peserta sepenuh masa.

Dalam pada itu bagi perancangan tahun depan di Sarawak, NIOSH akan lebih fokus kepada perundingan di samping meneruskan program sedia ada.

NIOSH Sarawak katanya, akan pergi kepada permasalahan syarikat dalam industri dan menyelesaikan permasalahan syarikat berbanding hanya memberi latihan umum.

Turut hadir Timbalan Pengerusi NIOSH Gunasegaran Kandaswamy, Pengurus NIOSH Sarawak Normiza Suhaili dan Pakar Teknikal NIOSH Sarawak Mohd Amizan Mohd Amin.

  • oleh
  • Advertisement