Anda di sini

Sekatan jalan menyalahi hak asasi asas manusia

Advertisement
 Bill (tiga kiri) bersama Kenny (dua kanan) ketika bercakap kepada pemberita di Sibu, semalam.
TEGAS: Bill (tiga kiri) bersama Kenny (dua kanan) ketika bercakap kepada pemberita di Sibu, semalam.

SIBU: Fikirkan keselamatan nyawa penduduk dan alihkan sekatan blok konkrit itu terlebih dahulu, kata Pengerusi Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) Cawangan Rajang Bill Jugah.

Katanya, segala hal berkaitan masalah itu boleh dibincangkan kemudian yang membabitkan pemilik tanah dan jabatan berkaitan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai blok konkrit yang menyekat laluan dua rumah panjang iaitu Rumah Jalak Kusau dan Rumah Nita Seman di Tanjung Penasu, Batang Igan di sini.

Sekatan itu dibuat pemilik tanah berkenaan sejak 3 Disember lalu selepas dipercayai tidak berpuas hati dengan sesuatu prosedur berkaitan jalan yang menuju ke kedua-dua rumah panjang berkenaan yang difahamkan dibina di atas tanahnya.

“Kami mahu blok konkrit ini dibuka dalam masa 24 jam bermula esok demi memudahkan penduduk rumah panjang bergerak untuk menjalani rutin harian mereka.

“Kita harus mengutamakan soal keselamatan mereka seperti berlakunya kecemasan, bencana, kebakaran, jenayah dan sebagainya, bagaimana bantuan dapat datang terus ke rumah panjang tersebut apabila laluan dihalang oleh sekatan itu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama ialah anak Tuai Rumah Jalak, Kenny Jalak, pengasas Pergerakan Pembebasan Sarawak (SLM) Dzulfiqar Yeu Bang Keng, ahli SLM John Ting serta ahli-ahli SADIA Cawangan Rajang yang lain.

Beliau berkata, segala hal berkaitan penyelesaian masalah tanah tersebut harus diselesai dan dibincang kemudian kerana nyawa dan harta benda penduduk sangat penting yang memerlukan jalan tersebut.

“Pihak atau agensi berkenaan janganlah menuding jari antara satu sama lain dalam penyelesaian masalah ini. Kalau begitu macam mana masalah ini nak selesai, nyawa penduduk sangat penting,” tegasnya.

Beliau turut menggesa pihak berkenaan bahawa tindakan membiarkan sekatan itu berpanjangan sementara menunggu sesuatu perbincangan atau rundingan selesai hingga menghalang pergerakan penduduk berkenaan adalah tidak wajar terhadap hak asasi asas manusia seperti yang termaktub dalam Hak Asasi Manusia Artikel 3 dan Perlembagaan Persekutuan Perkara 5 dan 8 (5).

“Sekatan itu telah hampir seminggu di situ sejak 3 Disember lalu. Walaupun  pertemuan antara pemimpin masyarakat tempatan dan pihak berkuasa yang berkaitan diadakan pada Jumaat lepas namun ia tidak menampakkan hasil.

“Sampai bila lebih daripada 300 penduduk di kedua-dua rumah panjang terus diperlakukan sebegini rupa hingga menyebabkan mereka berjalan kaki kira-kira 1.3 kilometer ke rumah panjang lebih-lebih lagi membawa barang-barang keperluan harian seperti beras dan sebagainya yang agak berat.

“Bagaimana kalau ada orang sakit atau masa kecemasan, cubalah fikir tentang situasi ini dan bukannya mementingkan masalah sendiri. Kita kena fikir juga dengan orang lain sebab ini jalan awam,” tegasnya.

Menurut Bill, tidak kira apa-apa masalah pertikaian, pampasan atau penyelesaian tanah yang menyebabkan sekatan ini, hak sosial dan asas komuniti yang terjejas mesti dilindungi terlebih dahulu.

Sementara itu, Kenny memohon jasa baik Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menyelesaikan perkara itu setelah mereka menunggu hampir seminggu untuk masalah ini diselesaikan.

  • oleh
  • Advertisement