Anda di sini

Penduduk cemas rumah dilanda banjir kilat

Advertisement
 Mangsa membersihkan sisa kotoran akibat banjir.
KOTOR: Mangsa membersihkan sisa kotoran akibat banjir.

BINTANGOR: Tiga penghuni sebuah rumah di Batu 10, Jalan KJD, di sini berhadapan situasi mencemaskan jam 6.30 petang kelmarin apabila kediaman mereka dilanda banjir kilat.

Dalam kejadian itu, seorang wanita, 33, bersama dua kanak-kanak berusia 11 dan 10 tahun terperangkap dalam rumah dan tidak sempat bertindak menyelamatkan diri.

Risau dengan air semakin naik, tiga sekeluarga membuat panggilan kecemasan dan memohon bantuan penduduk rumah panjang berhampiran.

Tuai Rumah Sandra Umban dimaklumkan kejadian itu bertindak menghubungi bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor memohon bantuan selanjutnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata, sebaik menerima panggilan lapan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Nicholas Langi dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Ketika bomba tiba di lokasi lebih kurang 30 kilometer dari balai, anggota bomba mendapati mangsa terperangkap berjaya diselamatkan penduduk rumah panjang.

“Pada masa sama, situasi banjir di lokasi terbabit turut menunjukkan penurunan.

“Melalui pemantauan, kita mendapati banjir berlaku disebabkan sistem perparitan sepanjang Jalan KJD ditutupi tanah terhakis akibat hujan,” katanya di sini semalam.

Tanah terhakis daripada pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo menyebabkan sistem perparitan di lokasi terbabit tersumbat menyebabkan air melimpah lalu membanjiri kawasan sekitar.

Menurut Nicholas, ketika kejadian air dalam rumah mangsa berada pada paras lutut.

“Berikutan air surut, tiada aktiviti pemindahan mangsa dilakukan,” katanya.

Kejadian itu turut menyebabkan beberapa barangan milik mangsa seperti perabot rumah rosak.

  • oleh
  • Advertisement