Anda di sini

Cuti pegawai dan anggota bomba tidak dibekukan

Advertisement
 Ling (tengah) bergambar bersama pemenang dan peserta yang menyertai Sukan Bomba Jemputan Zon Utara Sarawak malam kelmarin.
TAHNIAH: Ling (tengah) bergambar bersama pemenang dan peserta yang menyertai Sukan Bomba Jemputan Zon Utara Sarawak malam kelmarin.

MIRI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memberi jaminan bahawa cuti sempena perayaan Krismas bagi pegawai dan anggotanya tidak akan terjejas mengikut sistem penggiliran cuti.

Pengarah JBPM Sarawak Khirudin Drahman berkata, cuti pegawai dan anggotanya tidak dibekukan tetapi dicatu dan mengikut sistem penggiliran bagi memberi peluang mereka bercuti bersama keluarga.

“Mana-mana pegawai dan anggota yang layak bercuti akan dibenarkan bercuti sempena Krismas dan kita akan memastikan ketua balai dan keanggotaan cukup untuk tujuan operasi,”  katanya pada Majlis Perasmian dan Penutupan Sukan Bomba Jemputan Zon Utara Sarawak malam kelmarin.

Khirudin berkata JBPM Sarawak banyak menambah kekuatan logistik dan kekuatan pasukan operasi menerusi Pasukan Bomba Komuniti, Bomba Bantuan dan Bomba Sukarelawan.

“Mereka membantu JBPM Sarawak dalam melakukan tindakan sepuluh minit pertama seperti kejadian banjir di Long Bemang dan Sematan Lundu sebelum ketibaan anggota kita,” jelasnya.

Kehadiran ‘anggota tambahan’ bomba itu katanya, memberi impak positif dalam mengurangkan impak bencana daripada menjadi semakin parah.

“Kita amat mengharapkan komuniti dapat memberi tindakan awal sebelum pasukan kita tiba bagi memastikan impak kes minor ini terkawal dan tidak menjadi lebih parah,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, empat balai bomba baharu di Sarawak termasuk Balai Bomba Batu Niah akan siap penghujung tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan 36 balai di Sarawak.

“Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 50 balai bomba, namun kita memahami keupayaan dan kekangan peruntukan kerajaan untuk menyediakan kira-kira 14 lagi fasiliti ini.

Bagaimanapun kita bercadang untuk membina balai bomba kategori E, balai bomba ini akan menempatkan pegawai bomba bantuan, bomba sukarela serta memiliki pos sendiri,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara Senator Alan Ling berkata seramai 14,400 anggota JBPM tanpa mengira pangkat mendapat manfaat menerusi pemberian ‘Elaun Khas’ sebanyak RM200 sebulan, bermula Januari depan.

“Ia menunjukan kerajaan pusat menghargai perkhidmatan yang diberikan oleh anggota bomba seterusnya menyuntik semangat mereka untuk terus berkhidmat demi masyarakat dalam pelbagai misi, khidmat kemanusiaan, pengurusan bencana serta kemalangan,” jelasnya.

Pada masa sama bantuan itu juga sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kos sara hidup yang semakin tinggi ketika ini.

“Permohonan mereka yang dibuat sejak 2015 itu telah mendapat balasan positif oleh kerajaan pusat dan ia akan ditunaikan pada tahun 2020,” jelasnya.

Sementara itu, pasukan MCOT Petronas muncul juara keseluruhan Pertandingan Bola Jaring Piala Pengarah JBPM Sarawak diikuti pasukan Brunei Darussalam (kedua) dan Miri serta Sibu (tempat ketiga bersama).

Manakala pasukan Bintulu muncul juara Pertandingan Bola Tampar Piala Pusingan Senator Alan Ling manakala pasukan OKK Curtin University (kedua) dan Limbang dan Sibu (tempat ketiga bersama).

  • oleh
  • Advertisement