Anda di sini

Selesaikan masalah demi kepentingan penduduk, usah menunding jari

Advertisement
ll (duduk, tiga kiri), Kenny (duduk, tiga kanan), Yeu (duduk, dua kanan), Ting (duduk kanan) serta yang lain pada sidang media di Sibu, hari ini.
ll (duduk, tiga kiri), Kenny (duduk, tiga kanan), Yeu (duduk, dua kanan), Ting (duduk kanan) serta yang lain pada sidang media di Sibu, hari ini.

SIBU: Fikirkan keselamatan nyawa penduduk dan alihkan sekatan blok konkrit itu terlebih dahulu, kata Pengerusi Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) Cawangan Rajang, Bill Jugah.

Katanya, segala hal berkaitan dengan masalah itu boleh dibincangkan kemudian yang membabitkan pemilik tanah dan jabatan berkenaan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas blok konkrit yang menyekat laluan dua buah rumah panjang iaitu Rumah Jalak Kusau dan Rumah Nita Seman di Tanjung Penasu, Batang Igan di sini.

Sekatan itu dibuat oleh pemilik tanah berkenaan sejak 3 Disember lalu selepas dipercayai tidak berpuas hati dengan sesuatu prosedur berkenaan dengan jalan yang menuju ke kedua-dua rumah panjang berkenaan yang difahamkan dibina di atas tanahnya.

"Kami mahu blok konkrit ini dibuka dalam masa 24 jam bermula esok demi memudahkan penduduk rumah panjang bergerak untuk menjalani rutin harian mereka.

"Kita harus mengutamakan soal keselamatan mereka seperti berlakunya kecemasan, bencana, kebakaran, jenayah dan sebagainya, bagaimana bantuan dapat datang terus ke rumah panjang tersebut apabila laluan dihalang oleh sekatan itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama ialah anak Tuai Rumah Jalak, Kenny Jalak, pengasas Pergerakan Pembebasan Sarawak (SLM) Dzulfiqar Yeu Bang Keng, ahli SLM John Ting serta ahli-ahli SADIA Cawangan Rajang yang lain.

Beliau berkata, segala hal-hal berkenaan dengan penyelesaian masalah tanah tersebut haruslah diselesaikan dan dibincangkan kemudian kerana nyawa dan harta benda penduduk sangat penting yang memerlukan jalan tersebut.

"Pihak atau agensi berkenaan janganlah menuding jari antara satu sama lain dalam penyelesaian masalah ini. Kalau begitu macam mana masalah ini nak selesai, nyawa penduduk sangat penting," tegasnya lagi.

Beliau turut menggesa pihak berkenaan bahawa tindakan membiarkan sekatan itu berpanjangan sementara menunggu sesuatu perbincangan atau rundingan selesai hingga menghalang pergerakkan penduduk berkenaan adalah tidak wajar terhadap hak asasi asas manusia seperti yang termaktub dalam Hak Asasi Manusia Artikel 3 dan Perlembagaan Persekutuan Perkara 5 dan 8 (5).

"Sekatan itu telah hampir seminggu di situ sejak 3 Disember lalu. Walaupun ada pertemuan antara pemimpin masyarakat tempatan dan pihak berkuasa yang berkenaan diadakan pada Jumaat lepas namun ia tidak menampakkan hasilnya.

"Sampai bila lebih dari 300 penduduk di kedua-dua rumah panjang terus diperlakukan sebegini rupa hingga menyebabkan mereka berjalan kaki kira-kira 1.3 kilometer ke rumah panjang lebih-lebih lagi membawa barang-barang keperluan harian seperti beras dan sebagainya yang agak berat.

"Bagaimana kalau ada orang sakit atau masa kecemasan, cubalah fikir tentang situasi ini dan bukannya mementingkan masalah sendiri. Kita kena fikir juga dengan orang lain sebab ini jalan awam," tegasnya lagi.

Menurut Bill, tidak kira apa-apa masalah pertikaian, pampasan atau penyelesaian tanah yang menyebabkan sekatan ini, hak sosial dan asas komuniti yang terjejas mesti dilindungi terlebih dahulu.

Sementara itu, Kenny memohon jasa baik Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menyelesaikan perkara ini setelah mereka menunggu hampir seminggu untuk masalah ini diselesaikan.

  • oleh
  • Advertisement