Anda di sini

PGA Kuching rampas 7,650 karton rokok seludup bernilai RM1.45 juta 

Advertisement
Kinsi ditemani pegawai PGA lain menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas di sebuah gudang di Batu Kitang.
Kinsi ditemani pegawai PGA lain menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas di sebuah gudang di Batu Kitang.

KUCHING: Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuching berjaya menggagalkan cubaan menyeludup sejumlah 7,650 karton rokok seludup pelbagai jenis bernilai anggaran RM1.45 juta dalam operasi 'Op Libas' yang dijalankan di kawasan sebuah gudang kosong di kawasan Batu Kitang pada Ahad.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Kuching, DSP Kinsi Bilu berkata, operasi itu dijalankan pada jam 2 petang melibatkan enam pegawai dan anggota dari Unit Risik Batalion 11 PGA bersama dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak atas risikan dan maklumat yang diperolehi. 

Dedahnya, sebanyak 7,650 karton rokok pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM1,453,500 disembunyikan di gudang tersebut berjaya ditemui dan disyaki belum lulus kastam. 

"Kami mengesyaki pemilik atau penjaga premis tersebut berjaya melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa semasa serbuan dilakukan.

"Hasil maklumat yang diperolehi, barangan ini dipercayai diseludup dari negara jiran dan akan dipasarkan di pasaran tempatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Batilion 11 PGA, Jalan Batu Kawa di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kinsi memberitahu, kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Jelasnya, di bawah seksyen itu, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda minimum 10 kali ganda nilai barang dan maksimum 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan.

"Saya menasihatkan kepada masyarakat setempat supaya sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa khususnya PDRM dalam membanteras aktiviti penyeludupan ini," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement