Anda di sini

Camila Cabello kongsi kisah cinta dalam album ‘Romance’

Advertisement
 

CAMILA Cabello mahu tebus semula masa yang hilang.

Penyanyi muda yang berusia 22 tahun itu sentiasa sahaja sibuk sejak menyertai kumpulan Fifth Harmony enam tahun yang lalu, bergiat secara solo, dan mencatat beberapa lagu hit seperti ‘Havana’ dan duet ‘Senorita’ bersama teman lelakinya Shawn Mendes.

Album baharunya, yang dikeluarkan pada Jumaat sebelum memulakan jelajahnya di AS, berjudul ‘Romance’ dan menurut Cabello, album itu semuanya tentang jatuh cinta.

“Saya tidak benar-benar mendapatkan cara membesar yang normal seperti lepak bersama kawan-kawan dan bertemujanji atau berada di sekolah,” kata Cabello, yang tercicir dari sekolah menengah untuk mengejar cita-citanya.

“Ketika saya 20 tahun, semasa saya mula membuat album ini, adalah masa di mana saya benar-benar menikmati hidup. Seluruh album ini hanyalah mengenai kehebatan, awak tahu, berada dalam hubungan yang serius buat pertama kali, jatuh cinta,” kata penyanyi Cuba-Amerika itu kepada Reuters Television.

Persembahan secara langsung yang sungguh romantik ketika menyanyikan lagu ‘Senorita’ oleh Cabello dan Mendes pada tahun ini sungguh ‘viral’, namun dia enggan mendedahkan berapa banyak lagu dalam ‘Romance’ adalah mengenai hubungannya dengan penyanyi Kanada yang berusia 21 tahun itu.

“Saya tidak akan mengatakan, ‘Oh, lagu itu tentang dia.’ Tetapi saya rasa, mungkin, orang akan tahu juga,” katanya.

Dalam kerjayanya yang masih baharu, Cabello sudah pun merangkul lebih 60 anugerah, termasuk artis terbaik di acara ‘2018 MTV Video Music Awards’ tahun ini.

Dilahirkan di Cuba kepada bapa orang Mexico dan ibu orang Cuba, Cabello turut melihat dirinya sebagai seorang model peranan bagi imigran ke AS. Dia menghabiskan usia mudanya antara Havana dan Mexico City sebelum berpindah ke Florida ketika berumur enam tahun.

“Saya sesungguhnya merasakan yang saya mempunyai tanggungjawab untuk berkongsi cerita saya dan berkongsi kisah keluarga saya kerana saya merasakan ia penting untuk orang menjadikan isu itu sesuatu yang beradab,” katanya. — Reuters

Advertisement