Anda di sini

Bekalan air diperluas

Advertisement
 Dr Abdul Rahman dan Safiee merakam kenangan bersama yang lain selepas mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air SAWAS Nanga Semah.
LAWATAN KERJA: Dr Abdul Rahman dan Safiee merakam kenangan bersama yang lain selepas mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air SAWAS Nanga Semah.

DARO: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti akan meneruskan usaha untuk melaksanakan projek bekalan air alternatif Sarawak (SAWAS) pada 2020.

Menteri Muda Bekalan Air Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, projek fasa kedua itu merangkumi 56 pakej dengan anggaran kos bernilai RM134 juta.

"Pelaksanaan projek ini adalah salah satu daripada usaha murni Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan kemudahan kepada rakyat di Sarawak," jelasnya.

Dr Abdul Rahman berkata demikian pada lawatan kerja ke loji rawatan air dan program kesedaran dan pendidikan SAWAS di Rumah Sandom, Nanga Semah di sini, semalam.

Menurutnya, fasa pertama melibatkan lima pakej projek yang siap dilaksanakan telah membuktikan manfaat dan keberkesanannya untuk membekalkan air bersih dan terawat kepada penduduk kampung dan rumah panjang.

"Kerajaan Sarawak akan meneruskan usaha membina projek tersebut di kawasan terpencil bagi memastikan rakyat di luar bandar turut sama menikmati bekalan air," ujarnya.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) berkata, projek SAWAS di Nanga Semah merupakan projek perintis yang siap tahun lepas dan telah memberi manfaat kepada penduduk rumah panjang dan kampung terbabit.

"Tadi saya telah melawat loji SAWAS di Nanga Semah dan saya minum terus air dari loji tersebut yang menggunakan sistem Reverse Osmosis (RO).

"Kualiti air di loji tersebut sama dengan kualiti air yang dibekalkan di negara-negara maju," jelasnya.

Pakej pertama SAWAS di Ulu Pandan merangkumi Rumah Unchau, Rumah Banta, Rumah Sunam, Rumah Kaya dan Rumah Renang di Bintulu siap pada 30 Ogos 2018 telah memberi manfaat kepada 120 isi rumah.

Pakej kedua di Long Seridan, Long Peluan dan Kalampun, Lawas siap pada 30 September 2018 telah memberi manfaat kepada 141 isi rumah.

Pakej ketiga Rumah Untat Sungai Melipis Kapit, Rumah Ninting Nanga Jambu Lubok Antu dan Kampung Belantak Limbang siap pada 30 Oktober 2018 telah memberikan manfaat kepada 40 isi rumah.

Pakej keempat Nanga Semah di Daro, Mukah merangkumi Rumah Ameit, Rumah Sipang, Rumah Jantai, Rumah Belinau, Rumah Iboh, Rumah Rantai dan Rumah Endok siap pada 30 Oktober 2018 telah memberi manfaat kepada 122 isi rumah.

Dan pakej kelima Kampung Penasu, Muara Lebaan merangkumi Rumah Chochok, Rumah Manggong, Rumah Amoi dan Rumah Minang di Daro siap pada 30 September 2018 telah memberi manfaat kepada 160 isi rumah.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad dan Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Ahmad Selihin Che Said.

  • oleh
  • Advertisement