Anda di sini

Single terbaru Syamel diilhamkan daripada kisah kecurangan

Advertisement
 

SEJAK bakatnya dicungkil lewat program realiti Akademi Fantasia tidak lama dahulu, Syamel terus mengukir satu demi satu kejayaan lewat karya-karya seninya yang berkualiti. Terbaru, Syamel kembali dengan sebuah lagi lagu solo hebat berjudul ‘Curang’.

Single ‘Curang‘ merupakan sebuah lagu berentak balada dan terhasil setelah para penciptanya mendapat ilham dengan melihat kadar penceraian yang semakin meningkat dalam masyarakat masa kini.

Digubah dan ditulis sepenuhnya oleh Aepul Roza dari Drama Band dan juga Syamel sendiri, lagu ini turut dihasilkan bersama sebuah klip video menarik yang menampilkan lakonan hebat Syamel serta Elisya Sandha.

Klip video lagunya menceritakan bagaimana watak Syamel yang bekerja keras untuk keluarganya disalah anggap oleh isterinya sendiri. Pada masa yang sama watak Syamel mendapat tahu yang isterinya sedang bermain kayu tiga dengan adik Syamel sendiri.

Selepas ternampak isterinya keluar bercinta bersama adiknya sendiri, Syamel gagal menahan kemarahan dan terus menumbuk adiknya sehingga dia ditangkap polis dan dipenjarakan.  

Klip video terbitan Picturematter itu telah menjalani penggambaran di sekitar Malaysia dan Singapura.

Lagu ‘Curang’ ini boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.

Video lirik dan muzik lagu ‘Curang’ ini juga boleh ditonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.  

Advertisement