Anda di sini

Abai kanak-kanak, dua beranak kena dua tahun

Advertisement
 Gansau (kiri) dan Cecelia keluar dari Mahkamah Sesyen selepas dijatuhi hukuman.
DIDAKWA: Gansau (kiri) dan Cecelia keluar dari Mahkamah Sesyen selepas dijatuhi hukuman.

SIBU: Dua beranak masing-masing dijatuhkan hukuman dua tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak.

Gansau Engkang, 44, dan Cecelia Kau, 22, turut dikenakan bon berkelakuan baik bagi tempoh tiga tahun dengan seorang penjamin oleh Hakim Caroline Bee Majanil.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa mengabaikan seorang kanak-kanak berusia satu tahun tiga bulan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada Oktober lepas di rumah pekerja Jalan Ding Lik Kong dan dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dalam rayuan, Gansau memberitahu tidak bekerja sementara suaminya bekerja di kilang dengan gaji RM80 sehari.

Manakala, Cecelia dalam rayuan memberitahu bekerja di kilang dengan pendapatan RM400 sebulan, selain merupakan ibu tunggal.

Kedua-dua tertuduh turut memberitahu kesal dengan apa yang berlaku dan merayu dikenakan hukuman ringan.

Mengikut fakta kes, pada 1 Disember lepas kira-kira jam 11 pagi di Hospital Sibu, mangsa didapati mengalami keretakan tulang pada kaki kanan dan tangan kiri, cedera di muka dan leher selain cedera di bibir dan dalam mulut.

Satu laporan polis kemudian dibuat yang membawa kepada penahanan kedua-dua tertuduh yang juga nenek dan ibu mangsa.

Advertisement