Anda di sini

Warga JPANS laksana khidmat masyarakat di RAY MTDYYK

Advertisement
 Abdul Muadz (dua,kiri) merakam gambar kenangan bersama Awang (kiri), Aidil (dua,kanan) dan Al Faad (kanan).
ALBUM: Abdul Muadz (dua,kiri) merakam gambar kenangan bersama Awang (kiri), Aidil (dua,kanan) dan Al Faad (kanan).

KOTA KINABALU: Kehadiran warga Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) untuk melaksanakan khidmat masyarakat, berjaya mengukir senyuman kegembiraan buat penghuni Rumah Anak Yatim dan Tahfiz Darul Yatama Yacob Khan (RAY MTDYYK), Membakut.

Kedatangan rombongan berkenaan menjadi lembaran sejarah baharu buat penghuni madrasah itu yang diasaskan oleh Datuk Ghulam Khan Hassan pada tahun 2011.

Warden RAY MTDYYK Abdul Muadz Muhammad Nur berkata, sejak madrasah itu beroperasi pada tahun 2012, pihaknya tidak pernah didatangi oleh 110 sukarelawan yang sudi melaksanakan khidmat masyarakat.

 Gelagat sukarelawan JPANS bersama penghuni RAY MTDYYK ketika aktiviti sukaneka.
SUKANEKA: Gelagat sukarelawan JPANS bersama penghuni RAY MTDYYK ketika aktiviti sukaneka.

Menurutnya, kehadiran pihak penganjur program bersama pegawai lantikan baharu yang bertindak sebagai sukarelawan itu adalah julung kali berlaku.

“Kami cukup teruja bila mengetahui ada rombongan dari JPANS yang sudi mengunjungi teratak kami untuk menyalurkan bantuan dan melaksanakan aktiviti gotong-royong.

“Keterlibatan sukarelawan yang begitu ramai ini satu pengalaman baharu buat penghuni RAY MTDYYK, dan kami cukup berterima kasih kepada JPANS,” katanya ketika dihubungi.

 Penganjur, pegawai pelaksana dan penghuni AY MTDYYK merakam gambar kenangan bersama.
RAKAM KENANGAN: Penganjur, pegawai pelaksana dan penghuni AY MTDYYK merakam gambar kenangan bersama.

Sehubungan itu, Muadz berharap, dengan adanya program sedemikian, akan lebih ramai pihak kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) mengetahui kewujudan madrasah itu, sekaligus menyalurkan bantuan demi kelancaran operasi mereka.

Sementara itu, penghuni RAY MTDYYK Awang Talhah Awang Sharom, 15, berasa seronok dan terharu menerima kehadiran daripada JPANS ke teratak mereka.

Lebih menyeronokkan lagi katanya, pelbagai aktiviti menarik seperti sukaneka diadakan bersama pegawai yang terlibat.

“Kami gembira dapat bertemu dan saling kenal mengenali dengan kakak dan abang sukarelawan yang datang.

“Sudah semestinya, pengalaman ini cukup bermakna buat kami, sekaligus mengeratkan lagi silaturahim antara penghuni madrasah bersama orang awam,” katanya.

Mohd Aidil Azril Burhanuddin, 15, turut teruja dengan keramahan dan sikap keterbukaan pegawai yang terlibat sepanjang program itu berlangsung.

Katanya, warga JPANS tidak kedekut untuk berkongsi pandangan dan buah fikiran dalam usaha membersihkan dan mengindahkan halaman teratak mereka.

“Kami baru tahu kaedah menanam dan menjaga pokok bunga di sekitar halaman madrasah ini, hasil bimbingan dari abang dan kakak yang terlibat.

“Sebelum ini, kami tidak tahu pun cara penjagaan bunga kerana ketiadaan tukang kebun untuk menjaga keindahan dan keceriaan madrasah ini,” katanya.

 Penghuni RAY MTDYYK merakam gambar kenangan bersama pihak penganjur selepas penyerahan sumbangan.
BERSAMA PENGANJUR: Penghuni RAY MTDYYK merakam gambar kenangan bersama pihak penganjur selepas penyerahan sumbangan.

Manakala, Mohd Al Faad bin Laichin, 14, pula berasa selesa meminta tunjuk ajar dan pengalaman bersama warga JPANS, meskipun berlainan latar belakang.

Katanya, pelbagai perkongsian berguna telah disampaikan kepada mereka untuk terus berkeyakinan dalam merealisasikan impian masing-masing.

“Misalnya, mereka mengajar kami menggantungkan papan tanda yang bertulis ungkapan kunci kejayaan di sekitar madrasah ini.

“Dengan kata-kata semangat ini, sudah pasti kami dapat memperbetulkan niat dan tujuan demi memartabatkan madrasah ini sebagai tempat melahirkan ramai tahfiz yang berkualiti dan berguna untuk keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Pengarah Program Khidmat Masyarakat RAY MTDYYK Siti Zarith Sofia Ag. Mohd Hussin berkata khidmat masyarakat itu adalah salah satu kluster program Pra-Perkhidmatan Pegawai Kumpulan Pelaksana tahun 2019.

Katanya, program itu bertujuan menyemai amalan budaya kerja berpasukan dan nilai-nilai murni dalam diri semua penjawat awam.

Tambahnya, ia juga bagi melahirkan pegawai awam yang sentiasa bersyukur dan menyemai sikap prihatin terhadap golongan yang memerlukan bantuan.

 Gotong-royong membersihkan sekitar halaman madrasah.
KERJASAMA: Gotong-royong membersihkan sekitar halaman madrasah.

“Selain mengadakan gotong-royong, kami juga memberi sumbangan berupa keperluan asas seperti barangan dapur dan keperluan harian.

“Justeru, kami harap agar lebih ramai badan kerajaan dan NGO untuk bersama-sama berganding bahu membantu mereka yang memerlukan khususnya dalam kalangan anak yatim, asnaf dan kurang berkemampuan,” jelasnya.

Setakat ini, RAY MTDYYK dihuni kira-kira 55 orang terdiri kakitangan madrasah bersama anak-anak yatim, Mualaf dan Asnaf.

Khidmat masyarakat yang berlangsung selama sehari itu adalah anjuran bersama antara JPANS dengan Institut Latihan Sektor Awam Negeri (INSAN).

  • oleh
  • Advertisement