Anda di sini

Sarawak ambil pendekatan sensitif, agresif tangani isu alam sekitar - Abang Johari

Advertisement
Abang Johari dibantu Justine meneliti buku mewah NREB yang dilancarkan sempena ulang tahun ke-25 NREB. - Gambar Chimon Upon
Abang Johari dibantu Justine meneliti buku mewah NREB yang dilancarkan sempena ulang tahun ke-25 NREB. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Sarawak akan merangka pendekatan pengurusan alam sekitar yang strategik menggunakan acuannya sendiri bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pendekatan itu harus lebih sensitif dan agresif bagi memastikan pembangunan sosioekonomi serta sosial yang pesat tidak menjejaskan kualiti alam sekitar di negeri ini.

Beliau berkata antara pendekatan yang perlu diberi perhatian ialah penggunaan teknologi moden dalam proses pembangunan dan penghasilan sisa terawat.

Beliau berkata Sarawak kini mempunyai kuasa untuk mengurus alam sekitar selepas rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mempersetujui kuasa alam sekitar diberikan kepada negeri ini.

Bagi tujuan itu katanya Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini telah meluluskan Rang Undang-Undang Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar (Pindaan) 2019.

Menurutnya pindaan ordinan itu akan memastikan pelaksanaan projek-projek transformasi sosioekonomi dan program-program pembangunan dilaksanakan secara lestari.

"Ini adalah pendekatan kita. Kita perlu sensitif dan agresif dalam usaha memelihara alam sekitar.

"Kita di Sarawak bersyukur kerana mempunyai kuasa untuk merangka pendekatan pengurusan alam sekitar yang lebih strategik dengan cara kita sendiri.

"Dalam tempoh 25 tahun akan datang NREB (Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar) memainkan peranan sangat penting dalam proses pembangunan negeri ini untuk memastikan ekosistem alam sekitar terpelihara," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-25 NREB di sini, malam Rabu.

Abang Johari yang juga Pengerusi NREB berkata di bawah Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar (Pindaan) 2019 pegawai NREB bertindak sebagai pegawai awam yang mempunyai kuasa memantau dan melaksanakan dasar-dasar alam sekitar di bawah  Akta Kualiti Alam Sekitar Persekutuan 1974.

Sementara itu Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Justine Jok Jau Emang dalam ucapan aluannya berkata NREB berazam akan memperkukuhkan lagi kapasiti dan keupayaannya menyelesaikan isu-isu alam sekitar yang semakin kompleks serta pelbagai.

Beliau berkata ini penting bagi memastikan Sarawak terus mempunyai alam sekitar yang bersih pada masa sama menikmati kemajuan ekonomi sebagai negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

"Di bawah kepimpinan Ketua Menteri, inovatif dan mengutamakan produktiviti hijau dan kitaran ekonomi sihat sangat penting untuk pembangunan ekonomi serta melindungi alam sekitar.

"Produktiviti hijau bermakna, pengeluaran dan pengedaran produk tanpa merisikokan alam sekitar juga ekologi untuk generasi akan datang.

"Ia juga tidak melibatkan peningkatan penggunaan sumber sebaliknya mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar," jelasnya.

Hadir sama isteri Ketua Menteri, Datin Patinggi Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang; Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli dan Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datu Dr Penguang Manggil.

  • oleh
  • Advertisement