Anda di sini

Nelayan Labuan peroleh RM16 juta untuk program PSN

Advertisement
 Muhammad Faiz menyerahkan skim bantuan bencana alam dan kebajikan nelayan kepada Basman Diris diperhatikan Pada (kiri).
SIMBOLIK: Muhammad Faiz menyerahkan skim bantuan bencana alam dan kebajikan nelayan kepada Basman Diris diperhatikan Pada (kiri).

LABUAN: Masyarakat nelayan di sini menerima peruntukan RM16 juta dari Kementerian Kewangan untuk pelaksanaan program Penempatan Semula Nelayan (PSN) yang disalurkan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata, Projek Penempatan Semula Nelayan seluas 10 ekar itu terletak di Kampung Belukut dan akan mula dilaksanakan 2020.

"Projek melibatkan 120 unit itu memberi keutamaan kepada para nelayan yang tidak mempunyai tanah termasuk yang tinggal di perkampungan atas air dengan konsep sewa dan beli," katanya.

Muhammad Faiz berkat demikian kepada media sempena Program Sesi Ramah Mesra Pengerusi LKIM Bersama Kepimpinan Nelayan di sini semalam.

Faiz menambah kerajaan juga telah meluluskan peruntukan tambahan RM1 juta untuk membangunkan prasarana asas meliputi dewan serbaguna, surau atau rumah ibadah, gelanggang futsal dan taman permainan serta jeti pendaratan perahu nelayan.

"LKIM Labuan juga telah melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah dengan melaksanakan projek membaik pulih dan membina rumah baharu nelayan," katanya.
 
Menurut Muhammad Faiz untuk tahun ini, LKIM telah melaksanakan kerja baik pulih enam rumah nelayan membabitkan peruntukan RM90,000 dan enam buah bina rumah baharu melibatkan RM408,000.

 Muhammad Faiz menandatangani plak rumah bina baharu nelayan Munah Husin di Kg Lubok Temiang.
PLAK RUMAH: Muhammad Faiz menandatangani plak rumah bina baharu nelayan Munah Husin di Kg Lubok Temiang.

Katanya dehingga November tahun ini, LKIM Labuan juga telah meluluskan 10 permohonan Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan berjumlah RM31,850.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan Skim Bantuan Bencana Alam  dan Kebajikan Nelayan kepada dua penerima bagi kerosakan rumah akibat angin ribut dan juga bantuan enjin sangkut.

Terdahulu Muhammad Faiz mengadakan lawatan ke Kompleks Perikanan LKIM Kiamsam dan Projek pembinaan rumah baru nelayan di Kampung Bebuloh serta Lubok Temiang.

Hadir sama Pengarah LKIM Labuan Pada Anak Bijo dan Pengerusi Persatuan Nelayan Wilayah Persekutuan Labuan Haji  Abdol Samat Haji Mustapha.

  • oleh
  • Advertisement