Anda di sini

Konsep 'rahmatan lil alamin' beri manfaat kepada pentadbiran negeri

Advertisement
 Kumpulan Selawat Kg Kinabutan Bukit mengabdikan kenangan bersama Osman.
KENANGAN: Kumpulan Selawat Kg Kinabutan Bukit mengabdikan kenangan bersama Osman.

TAWAU: Konsep 'rahmatan lil alamin' selari dengan konteks pentadbiran yang diamalkan kerajaan negeri untuk memberikan kebaikan kepada semua masyarakat tidak kira bangsa dan agama.

Ahli Dewan Undangan Negeri Balung Datuk Osman Jamal berkata, konsep 'rahmatan lil alamin' bukan hanya terkait dengan orang Islam sahaja tetapi untuk manusia sejagat di negeri ini.

"Semua kaum harus mempunyai sikap bersatu padu dan bersefahaman sekiranya mahu membentuk sebuah negeri yang membangun dari semua aspek.

"Pembentukan sebuah negeri yang maju, masyarakatnya harus melupakan perbezaan ideologi politik dan perbezaan pemikiran kerana ianya akan membantutkan usaha kerajaan dalam memberikan kemudahan yang terbaik untuk rakyatnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan malam berselawat perimgkat Kampung Kinabutan Bukit, Batu 6 Jalan Apas, di sini kelmarin.

Katanya, pembangunan yang ingin diterjemahkan oleh kerajaan negeri meliputi aspek pembangunan sosial, alam sekitar dan ekonomi.

"Pembangunan sosial merupakan perkara utama dalam mewujudkan sebuah pentadbiran berlandaskan konsep 'rahmatan lil alamin' yang menekankan pendidikan, kesihatan, keselamatan dan tempat perlindungan rakyatnya," katanya.

Menurutnya, pendidikan merupakan elemen penting supaya dapat merubah tahap mentaliti dan kehidupan rakyat kepada yang lebih matang serta bertamadun.

"Selain itu, taraf kesihatan rakyat juga perlu dititikberatkan. Kerajaan berusaha memberikan kemudahan kesihatan yang mencukupi kepada rakyatnya pada hari ini dengan menaiktaraf pejabat-pejabat kesihatan yang sedia ada.

"Kerajaan juga berusaha memberikan perlindungan keselamatan dengan menyediakan pasukan keselamatan disegenap tempat sama ada di darat mahupun di perairan. Begitu juga perlindungan perumahan, kerajaan banyak mewujudkan rumah PPR kepada rakyatnya yang kurang berkemampuan," katanya.

Osman berkata pembangunan alam sekitar juga tidak dilupakan dalam pembangunan negeri ini kerana penjagaan alam sekitar memberikan impak kepada kemajuan manusia dan negara.

"Kita mahukan persekitaran tidak kira di bandar mahupun di kampung sentiasa bersih dan indah supaya rakyat dapat hidup dengan persekitaran yang sihat.

"Saya sudah mengarahkan semua pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) supaya membentuk jawatankuasa untuk menjaga kebersihan di kawasan masing-masing dengan segera," katanya.

 Persembahan nasyid daripada kanak-kanak penduduk kampung Kinabutan Bukit.
PERSEMBAHAN: Persembahan nasyid daripada kanak-kanak penduduk kampung Kinabutan Bukit.

Menurutnya, ekonomi merupakan faktor kepada sebuah pembangunan di dalam sesebuah negara, oleh itu kerajaan negeri sudah merancang pelan pembangunan ekonomi supaya tidak hanya bergantung kepada kelapa sawit dan petroleum sahaja.

"Pendekatan baharu sudah dirancang, kita tidak hanya eksport bahan mentah sahaja sebaliknya kita akan memproses sendiri bahan mentah itu dan dapat memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini," katanya.

Beliau juga memohon supaya setiap rakyat memberikan kerjasama kepada kepimpinan pada hari ini. Dalam agama juga selain taat kepada Tuhan dan Rasulnya, rakyat juga harus taat kepada pemimpin selagi masih berada di landasan yang betul.

Turut hadir Guru Besar SK Kinabutan Besar Suhaidi Adinin, Pemaju Mukim UPPM Balung Khairul Anwar dan Pengerusi MPKK Kg Kinabutan Bukit Jafaluddin Pati.

  • oleh
  • Advertisement