Anda di sini

Kereta tembung 4WD, lima sekeluarga cedera

Advertisement
 Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang masih tersepit di tempat duduk kereta terbabit.
PENYELAMATAN: Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang masih tersepit di tempat duduk kereta terbabit.

MIRI: Lima sekeluarga mengalami kecederaan selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Pesisir Miri-Bintulu berdekatan Jalan Kampung Terahat dekat sini, pagi semalam.

Seorang pemandu kereta berusia 45 tahun dan seorang penumpang hadapan, 31, mengalami cedera parah, manakala tiga lagi penumpang berusia 12 hingga 19 tahun cedera ringan.

Dalam kemalangan terbabit, tiga mangsa di dalam kereta itu dilaporkan tersepit di tempat duduk.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan terbabit pada jam 7.46 pagi.

Katanya, tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri Sentral bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya 37 kilometer dari balai sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati kemalangan melibatkan enam mangsa di dalam dua kenderaan iaitu sebuah kereta dinaiki lima orang, manakala 4WD hanya dinaiki seorang pemandu.

“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit di dalam kereta dan tiga lagi mangsa dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sementara itu, pemandu 4WD berusia 65 tahun itu dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Law berkata, lima mangsa kemudiannya dibawa ke hospital dengan menggunakan dua unit ambulans dan sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Advertisement