TAWAU: Sebanyak 732 kes denggi direkodkan tahun ini di daerah Tawau manakala tahun lalu juga menduduki tempat pertama daerah paling ramai pesakit denggi di negeri ini.
Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau Dr. G. Navindran berkata, statistik pesakit denggi di daerah ini amat membimbangkan dan perlu ada usaha untuk membendung peningkatan pesakit denggi.
"Program yang dianjurkan ini merupakan usaha untuk memberikan kesedaran kepada orang awam tentang pentingnya menjaga kebersihan supaya wabak penyakit ini dapat diatasi dengan segera," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan program 'Kick Denggi' peringkat perbandaran Tawau, di sini semalam.
Navindran berkata penyakit denggi ini disebabkan tahap kebersihan yang tidak terurus dan kotor menyebabkan nyamuk aedes pembawa virus denggi mudah membiak dengan cepat.
"Kita tidak boleh menyalahkan pihak Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang tidak mengurus pembersihan di kawasan masing-masing sebaliknya menjaga kebersihan harus dilakukan oleh semua pihak termasuk diri sendiri.
"Hal ini kerana sampah berkenaan merupakan sampah kita sendiri dan pihak MPT tidak boleh melakukan kerja pembersihan dengan sendiri tanpa kerjasama orang awam yang menjaga kebersihan di tempat masing-masing," katanya.
Menurutnya, pihak Jabatan Kesihatan Tawau hanya dapat membantu melakukan 'Fogging Nyamuk' iaitu membuat penyemburan asap menghalau nyamuk aedes di kawasan terlibat disamping membuat pemeriksaan berkala.
"Kaedah yang dilaksanakan ini tidak mencukupi untuk membendung nyamuk aedes membiak sekiranya tahap kebersihan dan tempat-tempat nyamuk bertelur tidak dibersihkan oleh pemilik rumah atau premis masing-masing.
"Kita tidak boleh hanya menuding jari kepada warga asing yang tinggal di tempat setinggan kerana hakikatnya kebanyakan kawasan yang terlibat dengan masalah denggi ini berada di kawasan perumahan warga tempatan," katanya.
Mengulas lanjut, kawasan yang selalu menjadi tumpuan pihak Jabatan Kesihatan Tawau merupakan kawasan yang berulang dan sering terjadinya pesakit demam denggi.
"Antaranya, kawasan bandar, Taman Semarak, Taman Ria, Taman Wawasan,Taman Sri Indah, Batu 2 hingga 4 dan kesemua tempat ini setelah diperiksa memang terdapat kawasan sampah yang tidak diurus dengan baik," katanya.
Beliau juga menasihatkan orang awam untuk sentiasa menjaga kebersihan di tempat masing-masing dan jangan mementingkan diri membuang sampah di tempah-tempat tanah terbiar.
"Pastikan sampah di halaman rumah kita diselenggara dengan baik supaya memudahkan pihak MPT memungut sampah-sampah kita," katanya.
Beliau berkata pihak Jabatan Kesihatan Tawau akan mengenakan denda sebanyak RM200 kepada semua pemilik rumah dan premis sekiranya pemeriksaan dibuat mendapati terdapat pembiakan nyamuk aedes atapun jentik-jentik.