Anda di sini

Tiga penyelamat banjir maut nahas heli di Marseille

 Anggota polis berkawal di tempat kejadian di mana helikopter perkhidmatan keselamatan sivil terhempas dalam perjalanan melaksanakan misi menyelamat di Le Rove dekat Les-Pennes-Mirabeau, kelmarin. — Gambar Reuters
NAHAS: Anggota polis berkawal di tempat kejadian di mana helikopter perkhidmatan keselamatan sivil terhempas dalam perjalanan melaksanakan misi menyelamat di Le Rove dekat Les-Pennes-Mirabeau, kelmarin. — Gambar Reuters

MARSEILLE: Tiga pekerja kecemasan terkorban dalam nahas helikopter berhampiran Marseille ketika dalam misi menyelamat di selatan Perancis, di mana banjir menyebabkan sekurang-kurangnya tiga lagi maut, menurut pihak berkuasa kelmarin.

Helikopter EC145 itu hilang hubungan radio dan radar ketika dalam penerbangan menyelamat dan peninjauan di wilayah Var pada malam Ahad.

Tiga mangsa awam yang dihanyutkan banjir telah ditemui mati lemas pada jam 1.30 pagi waktu tempatan berhampiran pekan Rove, Menteri Dalam Negeri Christophe Castaner dan setiausaha negaranya Laurent Nunez berkata dalam satu kenyataan.

Satu siasatan telah dilakukan bagi menentukan punca nahas selepas helikopter tersebut merempuh cerun gunung di Pennes-Mirabeau, sebuah perkampungan kecil ke utara Marseille.

“Ketika Perancis sedang bersedia pada hari ini bagi memberikan penghormatan kepada 13 anggota tenteranya yang meninggal dunia ketika berkhidmat (di Mali), negara kita sedang kehilangan tiga wira yang setiap hari mengorbankan nyawa mereka bagi melindungi Perancis,” Castaner dan Nunez menyatakan dalam satu kenyataan bersama.

Presiden Emmanuel Macron menyatakan dalam Twitter bahawa walaupun amaran merah Ahad lepas bagi kawasan itu telah ditarik balik keadaan cuaca buruk meninggalkan kawasan tersebut dalam kemusnahan dan membawa kepada perkabungan akibat banjir.

Tiga orang terkorban Ahad lepas akibat banjir di French Riviera yang dilanda hujan lebat seminggu selepas keadaan cuaca ekstrem menyebabkan enam maut di wilayah Var.

Di wilayah yang sama, seorang penggembala dihanyutkan semasa cuba meredah banjir dengan kenderaan pacuan empat rodanya ketika mengawasi haiwan peliharaannya.

Mayat mangsa ditemui di dalam kenderaannya lewat Ahad lepas 300 meter dari lokasi kali terakhir dilihat, menurut pihak wilayah pada awal kelmarin.

“Kami mendesak beliau beberapa kali agar berpatah balik, namun beliau tetap pergi,” rakannya memberitahu syarikat penyiaran semua berita BFMTV.  

Terdapat kebimbangan bahawa angka kematian mungkin meningkat dengan seorang wanita berusia 61 tahun disenaraikan sebagai hilang, juga di Var, selepas keretanya ditemui sejurus air Sungai Garde surut dalam keadaan pintu terbuka namun tiada sesiapa di dalamnya.

Tengah hari kelmarin menyaksikan kejadian tanah runtuh yang menggerunkan di Mees, kampung kecil di wilayah Alpes-de-Haute-Provence kira-kira 100 kilometer di utara Marseille.

Timbunan batu telah memusnahkan beberapa rumah dan mencederakan dua orang, menurut pihak wilayah tempatan, memetik keadaan cuaca sangat buruk sejak beberapa hari lepas yang telah menyebabkan sebahagian cerun di atas perkampungan dalam keadaan kurang stabil.

Wilayah Var dan Alpes-Maritimes telah dikenakan amaran merah pada hujung minggu bagi banjir yang mengganggu perkhidmatan kereta api dan memutuskan jalan raya AS selama empat jam pada petang Ahad.

Banyak acara kebudayaan dan sukan yang turut ditangguhkan disebabkan oleh cuaca buruk, termasuk perlawanan Lique 1 untuk Paris Saint-Germain di Monaco. – AFP