Anda di sini

Tiada larangan terhadap wakil rakyat kerajaan Sarawak memasuki sekolah - Chong

Advertisement
CHONG
CHONG

KUCHING: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen menegaskan tiada larangan terhadap Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan PH daripada melawat sekolah-sekolah di negeri ini.

Malah, dalam tempoh setahun lalu, katanya, banyak wakil rakyat daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) diberikan kebenaran untuk memasuki sekolah.

Menurutnya, sebanyak 515 kebenaran diberikan kepada wakil-wakil GPS dan PSB untuk memasuki sekolah  dan menghadiri acara.

"Sebagai perbandingan, hanya 170 kebenaran diberikan kepada wakil rakyat PH untuk memasuki sekolah.

"Sebelum PH mengambil alih kerajaan, wakil-wakil rakyat kita (PH) diharamkan sepenuhnya untuk memasuki  sekolah. 

"Saya secara peribadi telah mengalami perkara ini di mana jemputan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terhadap saya terpaksa dibatalkan di saat-saat terakhir semata-mata saya ketika itu adalah wakil rakyat daripada pembangkang," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, larangan seumpama itu bukan sahaja berlaku di Sarawak bahkan juga di negeri-negeri lain di mana PH menjadi kerajaan negeri seperti Pulau Pinang dan Selangor.

"Pada masa itu, peruntukan kerajaan negeri PH kepada sekolah  perlu diberikan  di luar kawasan sekolah," ujarnya.

Pengerusi Parti Tindakan Demoktratik (DAP) itu menegaskan kerajaan PH sekarang tidak mengenakan sebarang larangan terhadap wakil-wakil rakyat yang dilantik oleh pembangkang dari memasuki sekolah.

"Hanya secara prosedur, sekolah-sekolah perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum membenarkan wakil rakyat untuk memasuki sekolah. Kaedah seperti ini juga digunakan kepada wakil rakyat PH.

"Itulah sebabnya dalam tempoh satu tahun lalu, terdapat 515 keizinan yang diberikan kepada wakil-wakil rakyat daripada GPS dan PSB untuk memasuki sekolah.

"Ini adalah perbezaan yang nyata berbanding dengan semasa Barisan Nasional (BN) di mana tiada kebenaraan diberikan kepada wakil rakyat PH dari memasuki sekolah," jelasnya

Sebelum ini, kata Chong, pemimpin GPS membawa logo parti mereka dan memberi ucapan politik di sekolah semasa acara PIBG dan sebagainya sebagai platform politik mereka.

"Di bawah kerajaan baharu, ini tidak lagi dibenarkan dan ia juga perlu dipatuhi pemimpin PH," katanya.

Tambah beliau, wakil-wakil rakyat GPS sekarang sedang memainkan peranan sebagai 'mangsa'  kepada dasar itu kerana mereka tidak lagi boleh memasuki sekolah apabila ingin melakukan kempen politik mereka.

"Mereka sudah biasa dengan menyalahgunakan sistem untuk keuntungan politik sepanjang masa dan apabila sistem yang adil dilaksanakan, mereka merasakan diri sebagai mangsa.

"Tiada apa-apa yang tidak adil dalam dasar baru ini. Sekolah-sekolah tidak harus digunakan oleh mana-mana politik untuk melakukan kempen politik.

"Kerajaan PH hanya membetulkan kesalahan yang dilakukan kerajaan BN lalu dan pemimpin GPS perlu belajar untuk menerima hakikat  bahawa mereka tidak boleh lagi menyalahgunakan hak memasuki sekolah untuk melakukan kerja dan ucapan politik  mereka sebagaimana yang telah dilakukan semasa waktu dahulu," ujar Chong.

  • oleh
  • Advertisement