Anda di sini

SM Pei Min Miri terima sumbangan dana RM1 juta

Advertisement
 Abang Johari menyerahkan cek kepada Hii sambil disaksikan (enam kanan) Dr Sim, Lee, Ting serta ahli lembaga SM Pei Min dan tetamu kehormat lain, petang semalam.
UNTUK PENDIDIKAN: Abang Johari menyerahkan cek kepada Hii sambil disaksikan (enam kanan) Dr Sim, Lee, Ting serta ahli lembaga SM Pei Min dan tetamu kehormat lain, petang semalam.

MIRI: Sekolah persendirian Cina Sekolah Menengah (SM) Pei Min Miri menerima sumbangan dana berjumlah RM1 juta daripada kerajaan negeri bagi menampung kos pembinaan bangunan baharu sekolah berkenaan.

Cek sumbangan itu disampaikan sendiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Bangunan Pentadbiran SM Pei Min Datuk Hii King Chiong pada majlis ringkas yang berlangsung di Hotel Imperial, petang semalam.

Hadir sama padam majlis tersebut ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Adam Yii, Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah SM Pei Min Khor Ooi Long serta tetamu lain.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek berkenaan, Khor berkata RM1 juta terbabit merupakan janji kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk sekolah itu pada tahun lepas.

Katanya bangunan baharu sekolah terbabit yang bernilai RM17 juta masih memerlukan dana RM6 juta lagi.

Projek berkenaan kini siap lebih daripada 70 peratus dan dijangka akan siap sepenuhnya menjelang akhir 2020 dan akan dibuka pada 2021.

Jelas beliau, jawatankuasa bangunan berkenaan turut mengalu-alukan sumbangan daripada masyarakat setempat bagi memastikan projek terbabit dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

“Kita amat berharap dapat meningkatkan dana yang diperlukan demi kepentingan dan keperluan pendidikan di sini,” ujarnya.

Katanya, dengan siapnya bangunan baharu itu, ia akan memenuhi keperluan untuk menampung peningkatan jumlah pelajar dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, selain menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk guru dan kakitangannya.

Bangunan baharu berkenaan bernilai RM17 juta merangkumi keseluruhan bangunan lima tingkat dengan dilengkapi bilik darjah, bilik mesyuarat, perpustakaan, pejabat pentadbiran termasuk rekaan dalaman.

Majlis pecah tanah bagi pembinaan bangunan baharu itu telah disempurnakan Abang Johari pada Mei tahun lalu.

  • oleh
  • Advertisement