Anda di sini

Perkahwinan bawah umur 16 tahun tetap dilarang

Advertisement
 Fatimah meneliti dokumen sambil disaksikan wakil-wakil daripada agensi lain selepas mempengerusikan mesyuarat OSTPC di Kuching, semalam.
MAKLUMAT: Fatimah meneliti dokumen sambil disaksikan wakil-wakil daripada agensi lain selepas mempengerusikan mesyuarat OSTPC di Kuching, semalam.

KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak akan sewenang-wenangnya membenarkan perkahwinan bawah umur jika ia melibatkan remaja perempuan bawah umur 16 tahun.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perkahwinan remaja perempuan bawah umur 16 tahun tidak akan dibenarkan kerana ia  dianggap sebagai kes rogol bawah umur (statutory rape).

“Kerajaan Sarawak menyokong penuh cadangan untuk meminda undang-undang had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun untuk menangani masalah remaja berkahwin di bawah umur.

“Namun demikian, sistem perundangan berkaitan perkahwinan di Sarawak mempunyai banyak perbezaan dengan Semenanjung,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) di Bilik Mesyuarat, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) di Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.

Menjelas lanjut, Fatimah berkata Sarawak mempunyai tiga sistem perundangan berkaitan perkahwinan iaitu undang-undang perkahwinan sivil, syariah dan adat.

Menurutnya, dua daripada undang-undang tersebut iaitu sivil dan syariah telah menetapkan had umur minimum.

“Undang-undang sivil di Sarawak telah menetapkan had umur minimum berkahwin kepada 18 tahun. Namun sekiranya ada situasi tertentu misalnya remaja perempuan bawah umur 18 tahun telah hamil sebelum berkahwin, perlu mendapatkan kelulusan kerajaan negeri menerusi Residen Bahagian masing-masing sebelum dibenarkan berkahwin dengan pasangan,” ujarnya.

Bagi undang-undang syariah pula katanya, had umur minimum berkahwin untuk lelaki adalah 18 tahun manakala perempuan 16 tahun.

Jika (perkahwinan mengikut undang-undang syariah) melibatkan remaja bawah umur katanya, ia perlu mendapat kelulusan daripada Mahkamah Syariah sebelum perkahwinan dapat diteruskan.

“Jawatankuasa Pindaan Ordinan Syariah Negeri Sarawak Bil.1/2018 memutuskan mengguna peruntukan Seksyen 7 Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam 2001.

“Prosedur operasi stadard (SOP) telah dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia iaitu Surat Pekeliling/Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syariee JKSM Bil.1/2008,” ujarnya.

Bagi perkahwinan adat pula, Fatimah berkata had umur minimum perkahwinan tidak wujud mengikut sistem adat.

“Secara umumnya, ketua kaum, ketua masyarakat (native) Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) bersetuju bahawa usia minimum perkahwinan adalah 18 tahun,” katanya sambil menambah, MAIS kini sedang giat berusaha menyeragamkan had minimum perkahwinan yang melibatkan usaha mendapatkan persetujuan pelbagai etnik yang ada di Sarawak.

Dalam perkembangan berkaitan, Fatimah berkata perkahwinan bawah umur secara adat di Sarawak menunjukkan trend peningkatan daripada 384 orang  pada 2017 kepada 452 orang pada 2019.

Bagaimanapun katanya, peratusan untuk perkahwinan itu bagi tahun 2017 dan 2018 adalah kekal berdasarkan sumber MAIS.

Menurutnya, perkahwinan bawah umur secara Islam pula menunjukkan trend menurun berdasarkan daripada statistik Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) setakat 28 Oktober tahun ini.

“Perkahwinan bawah umur secara Islam menunjukkan trend menurun daripada 127 orang pada 2017 kepada 107 orang pada 2019 berbanding perkahwinan bawah umur secara adat yang menyaksikan peningkatan daripada 384 orang kepada 452 orang pada tempoh yang sama,” katanya.

Sementara itu, katanya perkahwinan bawah umur secara sivil bagi perempuan berumur bawah 18 tahun tetapi telah genap 16 tahun juga menunjukkan trend penurunan.

“Berdasarkan sumber daripada Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Sarawak, perkahwinan bawah umur secara sivil menurun daripada 180 orang pada 2014 kepada 56 orang pada 2019,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement