KUCHING: Pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) serta kakitangan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan kerjasama kerajaan negeri telah menganjurkan Program Rindok Sarawak Fringe 2019 di Plaza Merdeka pada 30 November lepas.
Menurut kenyataan akhbarnyasemalam, ia merupakan sebuah inisiatif UNIMAS dalam memartabatkan budaya dan warisan masyarakat di Malaysia terutama di Sarawak.
“Objektif utama program itu dijalankan adalah untuk memupuk kesedaran terhadap pertalian erat antara komuniti, sastera, budaya dan warisan dalam melestarikan ilmu pengetahuan dan kehidupan pada era globalisasi kini.
“Selain mempamerkan hasil kerja pelajar-pelajar yang mengikuti kursus-kursus di FBK yang berfokuskan komuniti, sastera, budaya dan warisan serta memberi pendedahan kepada pelajar berinteraksi dengan khalayak dan komuniti yang terlibat,” katanya menambah.
Tujuan program itu adalah juga untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai tentang kepentingan pemuliharaan budaya dan warisan di samping mempamerkan hasil karya mereka berdasarkan kursus yang diikuti.
Semua aktiviti dijalankan dengan bantuan infografik dan muzik serta tarian demi menarik minat orang awam.
Antara persembahan yang telah diadakan oleh pelajar-pelajar UNIMAS ialah seperti tarian India, tarian moden, tarian ngajat dan orkestra daripada UNIMAS Music Asgard Chinese Orchestra.
Selain itu, terdapat juga pameran hasil karya pelajar-pelajar UNIMAS antaranya ialah Sarawak Ethnic Literature, National Culture, Bako National Park and Traditional Games, Reviving the Nostalgic of Books in the Digital World: Book-U hunt, Flashback of Traditional Food (Tea Evolution), Popular Culture and Religions, dan Popular Culture and Religious Fashion.
Program ini berjaya dilangsungkan dengan sambutan yang hebat daripada orang awam.
Pihak UNIMAS berharap banyak lagi aktiviti seperti itu dijalankan untuk memupuk minat orang awam dalam meningkatkan pemahaman dan kesedaran mereka tentang kepentingan pemuliharaan budaya dan warisan dalam Malaysia terutama di Sarawak.