Anda di sini

Mexico buru penyerang kartel

 Pegawai polis tentera berkawal di hadapan bangunan dewan bandar raya Villa Union yang dipenuhi dengan kesan tembakan sehari selepas pertempuran berdarah antara polis dan penyerang di Villa Union, Coahuila kelmarin. — Gambar Reuters
DAHSYAT: Pegawai polis tentera berkawal di hadapan bangunan dewan bandar raya Villa Union yang dipenuhi dengan kesan tembakan sehari selepas pertempuran berdarah antara polis dan penyerang di Villa Union, Coahuila kelmarin. — Gambar Reuters

VILLA UNION: Pasukan tentera Mexico kelmarin memburu komando kartel dadah susulan pertempuran berdarah di sebuah pekan berhampiran sempadan dengan Amerika Syarikat yang menyebabkan enam penduduk tempatan dan 16 penyerang bersenjata terkorban dalam tragedi keselamatan memalukan terbaharu bagi Presiden Andres Manuel Lopez Obrador.

Sekurang-kurangnya 60 lelaki bersenjata menyerang bandar kecil utara Villa Union pada hujung minggu, tiba dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda yang bersenjata lengkap serta menembak secara rambang beberapa rumah sebelum menyerang dewan bandar raya, mengambil tujuh tebusan di sepanjang jalan, termasuk lima kanak-kanak.

Pihak berkuasa memberikan respons dengan mengerahkan tentera, Pengawal Negara serta polis negeri dan tempatan, sekali gus mencetuskan siri pertempuran bersenjata sepanjang hujung minggu yang menyebabkan 22 orang terkorban iaitu dua pekerja perbandaran yang diculik, empat anggota polis negeri dan 16 penyerang bersenjata, menurut pihak berkuasa di wilayah Coahuila, di mana Villa Union terletak.

Beberapa saksi menyatakan penyerang bersenjata memakai tanda kebesaran Northeast Cartel, kumpulan pecahan Zetas yang sangat kejam, kartel dadah yang ditubuhkan para komando tentera korup di wilayah utara Tamaulipas pada 2010.

Pihak berkuasa menahan dua daripada penyerang tersebut yang memberitahu pihak penyiasat objektif kartel adalah untuk muncul dan menyerang Villa Union bagi mengugut kerajaan negeri, menurut kepada Gabenor Miguel Angel Riquelme.

Riquelme memuji keberanian 15 anggota polis yang memberikan respons awal, yang menurut beliau telah berjaya menghalang penyerang walaupun jumlah mereka jauh lebih kecil.

“Dalam tempoh sejam 30 minit, kami telah berjaya mengepung penjenayah tersebut,” beliau memberitahu rangkaian radio Formula.

“Pasukan keselamatan telah diarahkan ke kawasan tersebut dan di ruang udara sekitar wilayah bagi memastikan serangan bersifat pengecut ini tidak terlepas dari hukuman,” agensi respons kecemasan menyatakan dalam satu kenyataan.

Serangan itu merupakan yang terbaharu dalam satu rangkaian bencana keselamatan bagi kerajaan Lopez Obrador sejak pemimpin haluan kiri itu memegang jawatan setahun lepas menjanjikan perubahan dalam strategi menentang kartel dadah kejam.

Rancangan beliau yang dinyatakan dalam slogannya ‘Pelukan bukan Peluru’, adalah untuk menyerang jenayah kejam hingga ke akar umbinya dengan menentang kemiskinan dan ketidaksamarataan melalui program sosial, berbanding dengan menggunakan tentera.

Namun terdapat beberapa petunjuk bahawa cara itu tidak akan berkesan.

Mexico kelihatan berada di landasan akan mencatatkan rekod pembunuhan baharu pada tahun ini, dengan 28,741 disahkan maut setakat ini.

Pada bulan lepas, penyerang bersenjata dipercayai dari kartel dadah La Linea telah membunuh beramai-ramai sembilan wanita dan kanak-kanak Mormon dengan dua kerakyatan AS-Mexico di sebuah kawasan terpencil di antara negeri utara Sonora dan Chihuahua.

Sementara pada Oktober, pihak berkuasa telah menahan seketika Ovidio Guzman, anak lelaki raja dadah yang dipenjarakan Joaquin ‘El Chapo’ Guzman, namun kemudian terpaksa membebaskannya apabila penyerang lain dari kartel Sinaloa mengepung bandar barat Culiacan.

Insiden itu kelihatan menjadi inspirasi bagi kartel lain yang yakin mereka boleh mendapat sokongan atasan dengan serangan kejam, kata pakar keselamatan Raul Benitez dari universiti terbesar di Mexico UNAM.

Lopez Obrador, yang menyambut ulang tahun setahun jawatannya pada Ahad ketika serangan berlaku, menyatakan insiden terbaharu sebagai satu pengecualian.

Serangan menyebabkan Villa Union, bandar dengan kira-kira 5,000 penduduk, kelihatan seperti zon perang.

Serangan turut menyebabkan enam anggota pasukan keselamatan tercedera, kata pihak berkuasa.

Lima kanak-kanak yang diculik penyerang bagaimanapun berjaya diselamatkan.

Pihak berkuasa merampas 25 kenderaan daripada penyerang yang melarikan diri, empat daripadanya membawa raifal .50 kaliber.

Pakar keselamatan Sergio Aguayo menyatakan Kartel Timur Laut yang berpusat di wilayah Tamaulipas, merupakan salah satu daripada lapan kumpulan yang terbentuk daripada saki-baki anggota Zetas yang berpecah. – AFP