Anda di sini

LKIM masih buka pintu, nelayan layak boleh mohon semula elaun sara hidup

Advertisement
Jamaludin (tengah) bersama Hakinah (kanan) semasa sidang media selepas majlis perasmian di Santubong, hari ini.
Jamaludin (tengah) bersama Hakinah (kanan) semasa sidang media selepas majlis perasmian di Santubong, hari ini.

KUCHING: Nelayan yang layak termasuk di Sarawak masih boleh merayu sekiranya nama mereka dikeluarkan dari senarai penerima.

Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Jamaludin Othman berkata, meskipun kerajaan sedang melaksanakan pemutihan penerima elaun sara hidup nelayan, ia tidak bermakna LKIM telah menutup pintu kepada mereka.

"Kita ada beberapa kriteria dalam proses pemutihan ini dan seandainya mereka layak, mereka boleh memohon dan kita akan mempertimbangkan.

"Proses pemutihan tidak bermakna LKIM menutup pintu dan mereka masih boleh terus membuat rayuan kerana kita masih memberi peluang kepada mana-maan nelayan tulen iaitu yang benar-benar turun ke laut," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Team Building Persatuan Nelayan Negeri Sarawak (Penesa) 2019 dan melancarkan laman sesawang rasmi Penesa di sini, hari ini.

Malahan kata Jamaludin, sehingga akhir November seramai 34,617 nelayan seluruh negara mendapat bantuan elaun sara hidup dan dianggarkan 6,000 adalah nelayan di Sarawak.

Beliau memberitahu, tujuan kerajaan mengadakan proses pemutihan untuk memastikan bantuan-bantuan yang diberikan akan disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak.

Jelasnya bagi kelayakan atau syarat minimum untuk memohon elaun sara hidup adalah nelayan yang pergi ke laut selama 120 hari, iaitu 10 hari sebulan.

"Ini adalah syarat minimum yang kita rasakan sebagai kelayakan kepada nelayan untuk menerima elaun sara hidup ini dan pada kebiasaanya, nelayan tulen mereka akan pergi lebih daripada 10 hari sebulan," tegasnya.

Tambah Jamaludin, bantuan elaun berjumlah RM300 sebulan itu adalah bagi meringankan kos sara hidup kumpulan sasar agar mereka mampu menampung pembelian harian.

Sementara itu katanya bantuan subsidi diesel nelayan, bagi meringankan separuh kos operasi ke laut para nelayan.

Hadir sama Pengurus Besar Penesa, Hakinah Amer dan Pengarah Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Nelayan, Nik Rashid Nik Jusoh.

Advertisement