Anda di sini

Lelaki ditemui mati di bilik sewa di MJC

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki ditemui mati di bilik sewanya di Bandar Baharu Batu Kawa (MJC), di sini sekitar jam 10 pagi hari ini.

Menurut sumber, lelaki dikenali sebagai Selvakumar Subramaniam berusia 31 tahun dan berasal dari Jerantut, Pahang ditemui abangnya yang risau selepas dia gagal dihubungi.

Difahamkan, abangnya selepas beberapa kali memangilnya dari luar bilik sewa, dikatakan bertindak memecah masuk dan menemui lelaki tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Lelaki tersebut tidak sedarkan diri dan ditemui dalam keadaan terlentang di dalam bilik sewa oleh abangnya yang kemudian terus menghubungi pihak hospital.

"Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas diperiksa oleh anggota paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS)," kata sumber.

Beberapa anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan juga turut hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

"Pemeriksaan polis di lokasi kejadian turut menjumpai satu botol racun serangga, bagaimanapun belum dapat dipastikan sama ada ia berkaitan dengan kematian mangsa atau tidak. 

"Mayatnya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk bedah siasat yang dijadualkan dilakukan pada esok," katanya.

Mangsa merupakan anak ketiga daripada enam adik beradik dan baharu berada di MJC sejak tiga minggu lepas.

  • oleh
  • Advertisement