Anda di sini

Kembalikan warta jika ada bukti rampasan tanah NCR berlaku: Len

Advertisement
 Len (empat kiri) menyerahkan surat hak milik kepada salah seorang penerima surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi Kampung Rajang, Tanjung Manis, semalam.
UNTUK RAKYAT: Len (empat kiri) menyerahkan surat hak milik kepada salah seorang penerima surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi Kampung Rajang, Tanjung Manis, semalam.

SIBU: Pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) boleh mengembalikan Warta Rizab Komunal Bumiputera kepada kerajaan negeri sekiranya terdapat bukti menunjukkan tanah yang diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri ini bertujuan untuk merampas tanah NCR mereka.

Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Len Talif Salleh berkata, pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai rizab komunal Bumiputera adalah untuk mengenal pasti dan mengesahkan sempadan tanah NCR yang sahih serta didaftarkan dalam daftar tanah.

“Inilah yang saya selalu katakan pada majlis-majlis penyerahan warta ini.

“Jika mereka tidak yakin dengan warta ini, mereka boleh serahkan balik warta ini kepada kerajaan.

“Namun sehingga ke hari ini, tiada satu pun warta tersebut telah diserah balik.

“Ini menunjukkan bahawa penerimaan rakyat terhadap pengukuran perimeter ini amat baik dan dakwaan itu ternyata satu pembohongan yang besar,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bagi Kampung Rajang, Tanjung Manis di Dewan Masyarakat Kampung Rajang, Tanjung Manis semalam.

Len juga berkata, tiada lagi keraguan mengenai sempadan di antara komuniti kerana sempadan yang telah diukur, ditanda dan diplotkan dalam pelan kadastra kerana maklumat ini boleh diakses dan dirujuk di mana-mana Pejabat Tanah dan Survei Bahagian atau secara atas talian melalui eMap dan LASIS Mobile Apps.

Malah, sempadan yang jelas ini akan memudahkan pengukuran lot individu bagi pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

“Pembangunan tanah secara berkelompok di bawah NCL development atau pembangunan tanah oleh SALCRA akan dapat juga dipergiatkan dengan lebih terancang.

“Sebelum kerja pengukuran, dialog diadakan dengan penuntut-penuntut tanah NCR yang berkaitan.

“Ia bertujuan memberi penerangan dan mendapat maklum balas sebelum kerja pengukuran sebenar di lapangan dilaksanakan.

“Pengukuran hanya dijalankan setelah mendapat persetujuan dan sokongan penuntut tanah yang terlibat,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas tanah NCR mereka.

Kerajaan Sarawak katanya, telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi tujuan pengukuran tanah NCR dalam Belajawan Negeri 2019, barulah kerajaan persekutuan sekarang mengumumkan peruntukan berjumlah RM21.5 juta.

“Namun begitu, setakat 15 Oktober 2019, hanya RM10.75 juta telah disalurkan. Belajawan kerajaan persekutuan 2020 yang dibentangkan pada 11 Oktober  lalu, sekali lagi tidak menyatakan dana bagi program pengukuran tanah NCR di Sarawak.

“Dan apa sebenarnya telah dilakukan wakil Pakatan Harapan di Parlimen, mereka gagal meminta peruntukan untuk kerajaan negeri melaksanakan pengukuran tanah NCR pada tahun depan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu pemilik-pemilik tanah NCR di Sarawak tidak khuatir, kerana kerajaan GPS Sarawak sentiasa memastikan hak-hak pemilik tanah ini dipelihara.

“Ini terbukti bila kita meminda Kanun Tanah Negeri baru-baru ini dengan memberi kuasa perundangan kepada Native Territorial Domain untuk memastikan semua tanah yang mempunyai hak adat Bumiputera dan tanah-tanah yang terlibat dengan usufructuary right (hak mengguna pakai) diiktiraf.

“Di samping itu, pengukuran kampung tradisional turut dijalankan walaupun kerajaan tahu kebanyakan kampung tradisional adalah dalam Rizab Komunal Bumiputera (Kampung) yang belum dikeluarkan hak milik individu,” ujarnya.

Sementara itu, seramai 92 penduduk kampung tradisi di Kampung Rajang, Tanjung Manis menerima surat hak milik tanah Sekysen 18 Kanun Tanah Negeri pada majlis itu.

Hadir sama Pegawai Daerah Tanjung Manis Udin Bujang, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Mukah Monaliza Ismail dan Pemanca Dandan Sidi.

Advertisement