Anda di sini

CUEPACS Sarawak hargai sumbangan kerajaan negeri untuk ahlinya 

Advertisement
AHMAD
AHMAD

KUCHING: Pemberian bantuan kewangan RM500 kepada penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Sarawak membuktikan kerajaan negeri prihatin dan menghargai sumbangan kumpulan itu dalam pembangunan di negeri ini.

Pengerusi Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sarawak, Ahmad Malie berkata bantuan kewangan dari kerajaan negeri itu seharusnya dijadikan suntikan semangat untuk penjawat awam persekutuan khasnya untuk terus berkhidmat dengan cemerlang demi kebaikan bersama terutamanya di peringkat akar umbi.

"CUEPACS negeri Sarawak melahirkan rasa syukur serta mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana sudi memberi bantuan khas kewangan RM500 kepada semua penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Sarawak.

"Pengumuman itu dibuat semasa perhimpunan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Negeri Sarawak (2019) hari ini pastinya amat dihargai semua penjawat awam persekutuan khususnya yang berkhidmat di Bumi Kenyalang," katanya hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap penjawat awam persekutuan dapat merancang penggunaan wang tersebut dengan terbaik khususnya dalam suasana menyambut Gawai Dayak dan Hari Raya tahun depan.

Terdahulu ketika merasmikan HPA Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) Abang Johari mengumumkan kerajaan negeri akan memberi bantuan khas RM500 kepada semua penjawat awam persekutuan yang bertugas di negeri ini.

Beliau bagaimanapun berkata bantuan khas itu akan dibayar pada Jun tahun depan.

Menurutnya, terdapat kira-kira 95,000 penjawat awam persekutuan berkhidmat di negeri ini dalam pelbagai bidang pekerjaan antaranya pegawai keselamatan, polis, guru dan mereka berkhidmat di luar bandar.

"Dengan itu sebagai menghargai perkhidmatan tuan-tuan, saya telah berbincang dengan ahli-ahli kabinet, maka kita telah membuat keputusan untuk menambah bantuan kewangan (diberikan oleh kerajaan persekutuan) kepada seluruh penjawat awam persekutuan di negeri Sarawak sebanyak RM500.

"Ini adalah tambahan kepada RM500 diberikan kepada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri tambah RM500, jadi RM1,000. Pembayarannya akan dibuat sekurang-kurangnya Jun tahun depan kerana keputusan baharu dibuat," katanya.

  • oleh
  • Advertisement