Anda di sini

Badan korporat tempatan digalak sertai Program Sekolah Angkat Kelab PALS

Advertisement
 
Justine (duduk, tengah) mewakili NREB bersama Jiwari (duduk kiri) mewakali SEB dan Madang (duduk kanan) menandatangani MoU pada satu majlis semalam, yang disaksikan Mortadza (belakang kiri) dan Poon. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
METERAI:Justine (duduk, tengah) mewakili NREB bersama Jiwari (duduk kiri) mewakali SEB dan Madang (duduk kanan) menandatangani MoU pada satu majlis semalam, yang disaksikan Mortadza (belakang kiri) dan Poon. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Lebih banyak badan korporat tempatan di negeri ini digalak melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat alam sekitar (CSER) dengan menyertai Program Sekolah Angkat Kelab PALS.

Kontroler Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Justine Jok Jau Emang berkata, badan korporat dan sektor swasta memberi sumbangan yang amat penting dalam pembangunan di Sarawak.

“Selain membantu meningkatkan pembangunan sosioekonomi, penglibatan badan korporat dan sektor swasta dalam CSER adalah penting bagi mencapai visi pembangunan mampan.

“Sejak program Sekolah Angkat Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) diperkenalkan oleh NREB pada tahun 2016, sehingga kini 14 badan korporat dan syarikat telah mengangkat 33 sekolah dengan jumlah peruntukan dan komitmen sebanyak RM241,000 sehingga tahun 2021.

“Sekolah-sekolah yang diangkat oleh syarikat ini merupakan sekolah yang berada di kawasan operasi mereka,” katanya berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Sekolah Angkat Kelab PALS antara NREB bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petronas Carigali Sdn Bhd (Sarawak Gas) di sini, semalam.

Menurut Justine, berdasarkan dapatan daripada pemantauan yang telah NREB jalankan setiap tahun di setiap sekolah yang ditubuhkan PALS, antara isu sering menjadi kekangan untuk pelaksanaan Kelab PALS di sekolah adalah kekurangan kewangan.

Mengenai MoU yang diadakan, beliau berkata menerusi memorandum itu, kedua-dua badan korporat tersebut bersetuju menyalurkan dana tahunan sebanyak RM3,000 kepada setiap sekolah untuk tempoh tiga tahun bagi melaksanakan projek atau aktiviti alam sekitar di sekolah yang diangkat.

Daripada enam sekolah berkenaan, empat sekolah diangkat oleh SEB ialah SMK Agama Tun Ahmad Zaidi di Kuching, SMK Kai Chung (Bintangor), SMK Three Rivers (Mukah) dan SK Trusan (Lawas) sementara dua sekolah diangkat oleh Petronas Carigali Sdn Bhd ialah SMK Baru Bintulu dan SK St Anthony Bintulu.

MoU berkenaan ditandatangani Kontroler NREB Justine Jok Jau Emang yang mewakili NREB, SEB diwakili Pengurus Besar Tanggungjawab Sosial dan Korporat (CSR) & Kelestarian SEB Jiwari Abdullah manakala Petronas Carigali Sdn Bhd diwakili Pengurus Pentadbiran Madang Dimbab.

Advertisement