Anda di sini

Agensi dan syarikat diingat daftarkan Pasukan Polis Bantuan sebagai MAPA

Advertisement
 Rosli mencuba pistol di salah sebuah gerai pameran yang dilawatinya pada Majlis Penutupan Persidangan Tahunan Persatuan Polis Bantuan Malaysia Ke-13 di Kuching, semalam.
CUBA: Rosli mencuba pistol di salah sebuah gerai pameran yang dilawatinya pada Majlis Penutupan Persidangan Tahunan Persatuan Polis Bantuan Malaysia Ke-13 di Kuching, semalam.

KUCHING: Agensi dan syarikat yang telah diberi lesen untuk menubuhkan Pasukan Polis Bantuan diingatkan untuk mendaftarkan pasukan mereka sebagai Persatuan Polis Bantuan Malaysia (MAPA).

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Seri Rosli Abdul Rahman berkata, masih ada 75 lagi agensi dan syarikat di seluruh negara yang masih belum mempunyai Pasukan Polis Bantuan mereka sebagai ahli MAPA.

Secara keseluruhan katanya, terdapat 256 agensi dan pertubuhan korporat di seluruh negara mempunyai lesen perkhidmatan Pasukan Polis Bantuan.

Rosli mengingatkan bahawa tidak menyertai MAPA adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan sebagai pengarah JPJKK, beliau melihat perkara itu dengan sangat serius.

Katanya, apabila lesen dikeluarkan kepada mana-mana agensi atau organisasi untuk menubuhkan Pasukan Polis Bantuan, ia menyatakan bahawa agensi atau syarikat itu mesti menjadi ahli MAPA.

“Sebagai pengarah JPJKK, saya mengambil perkara  ini dengan serius dan tidak lama lagi saya akan mengeluarkan surat peringatan kepada 75 agensi dan syarikat untuk mereka mendaftar dengan MAPA.

“Ini kerana di mana-mana, kita memerlukan persatuan untuk menggerakkan sebarang kegiatan ahli yang melibatkan ahli besar,” katanya pada Majlis Penutupan Persidangan Tahunan Persatuan Polis Bantuan Malaysia Ke-13 di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Rosli yang memberi jaminan akan meihat isu tersebut berkata, jika 75 agensi terbabit tidak megambil peduli tentang surat peringatan itu, maka ia adalah menjadi tanggungjawab JPJKK dan Polis Diraja Malaysia untuk mengkaji semula permit atau lesen Polis Bantuan daripada agensi atau syarikat terbabit.

Katanya keengganan 75 agensi dan syarikat itu menyertai MAPA tidak boleh diterima kerana dari segi bayaran, setiap organisasi hanya perlu membayar pendaftaran RM100 dan yuran tahunan sebanyak RM1,000 apatah lagi kebanyakan agensi terbabit adalah syarikat besar.

Beliau percaya dengan bayaran yuran tahunan  tersebut, MAPA dapat menjalankan lebih banyak aktiviti untuk ahlinya.

Terdahulu, seramai 250 anggota Polis Bantuan daripada 85 agensi hadir pada persidangan yang berlangsung selama tiga hari.

Hadir sama, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ramli Din dan Presiden MAPA Datuk Aishah Mohammad.

Advertisement